
Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata, majoriti yang memohon surat berkenaan adalah mereka yang bekerja sendiri atau pekerja harian tanpa majikan.
“Namun memasuki minggu kedua PKP ini jumlah permohonan agak berkurangan berbanding tiga hari pertama PKP dikuatkuasakan,” katanya kepada pemberita selepas hadir program “Back to School” serta memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP di SMK Pengkalan Chepa (1), hari ini.
Bagi memastikan tahap pematuhan SOP murid dan pelajar di luar sekolah, Shafien berkata, pihaknya memantau perkara itu melalui khidmat Unit Peronda Kereta (MPV) atau Unit Rondaan Bermotosikal (URB), terutamanya selepas tamat waktu persekolahan.
“Ketika murid berada dalam sekolah, tahap pematuhan mereka tinggi kerana dipantau pihak sekolah, tetapi dikhuatiri selepas waktu sekolah murid mungkin terlupa untuk ikut SOP seperti tidak memakai pelitup muka, jumpa kawan dan sebagainya.
“Kehadiran anggota polis di sekitar sekolah dapat memberi peringatan kepada mereka untuk patuh SOP.
“Polis akan memantau 10 minit sebelum dan 10 minit selepas waktu sekolah,” katanya.
Selain itu Shafien berkata, pihaknya juga akan menggunakan khidmat Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di seluruh negeri untuk bekerjasama dengan pihak sekolah mengenai perkara berkenaan.