
Katanya, skim penambahbaikan itu boleh dibiayai menerusi pinjaman berfaedah rendah untuk pekerja, atau melalui subsidi daripada Dana Pembangunan Sumber Manusia.
“Pemandu pelancong yang tiada kerja boleh mengambil kursus bahasa asing supaya lebih bernilai selepas industri pelancongan pulih,” katanya.
“Kakitangan hotel boleh mengambil kursus kemahiran untuk mempertingkatkan perkhidmatan. Kakitangan jualan boleh dilatih dalam penjualan strategik atau pemasaran antarabangsa supaya boleh membuat jualan dengan lebih baik pada masa depan.
“Ada yang akan menggunakan peluang ini untuk mempelajari kemahiran yang akan membolehkan mereka memasuki sektor yang sedang meningkat seperti teknologi maklumat, pembangunan aplikasi dan jualan dalam talian.
Najib berkata skim latihan semula lebih baik untuk masa depan negara “berbanding membayar subsidi untuk gaji pekerja yang cuma duduk di rumah atau tidak dapat berbuat apa-apa ketika waktu kerja.”
Beliau mempertikaikan berapa lama lagi kerajaan mampu membayar subsidi upah, kerana sektor tertentu akan mengambil masa lama untuk pulih daripada kawalan pergerakan akibat Covid-19.
Ulasan Najib itu susulan kenyataan oleh Pakatan Harapan dan sekutunya menggesa subsidi upah dilanjutkan dari tiga hingga enam bulan.
Katanya, pembangkang perlu menyokong peningkatan dalam tahap hutang negara daripada 60% ke 65% keluaran dalam negara kasar.
Beliau mempertikaikan keupayaan kerajaan untuk terus memberikan subsidi upah kerana hutang negara sudah mencapai RM900 bilion dan akan mencecah RM1 trilion menjelang hujung tahun ini atau tahun hadapan.
Najib berkata, perniagaan lembap susulan ekonomi lemah dalam pada pelaburan asing berkurangan, dan beberapa syarikat mengalami kejatuhan jualan sehingga 30% atau lebih. Sektor tertentu seperti pelancongan, perhotelan dan penerbangan akan mengambil lebih masa untuk pulih, mungkin sehingga empat tahun.
“Subsidi upah untuk enam bulan mungkin tidak mencukupi. Apa akan berlaku selepas skim itu berakhir? Adakah kerajaan akan melanjutkan empat tahun lagi supaya majikan terus membayar gaji yang tidak wajar?” katanya.
Katanya, krisis Covid-19 sepatutnya dilihat sebagai peluang untuk mempertingkatkan daya saing Malaysia dan melabur dalam kemahiran serta produktiviti tenaga kerja supaya ekonomi lebih bersedia untuk masa depan.