Kumpulan perniagaan mahu lebih banyak insentif, kurang kerenah birokrasi

Kumpulan perniagaan mahu lebih banyak insentif, kurang kerenah birokrasi

Putrajaya digesa hapuskan birokrasi yang menghalang pemulihan semula selepas PKP tamat.

Banyak perniagaan mempunyai tunggakan pesanan, tetapi pekerja tidak mencukupi untuk memenuhi pesanan itu, kata sebuah kumpulan perniagaan.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan perniagaan menggesa Putrajaya memberi lebih banyak insentif dan menghapuskan birokrasi bagi membolekan mereka beroperasi pada kapasiti penuh selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) ditamatkan.

Shaun Cheah, pengarah eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICC) berkata, sementara penurunan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara akan menjadikan pinjaman perniagaan lebih murah, namun ia bukan sesuatu yang diperlukan oleh kebanyakan syarikat dan pelabur asing ketika ini.

Bank Negara baru-baru ini mengekalkan kadar OPR walaupun terdapat jangkaan penurunan sebanyak 25 mata asas.

Cheah berkata, lebih diperlukan oleh perniagaan dan pelabur sekarang ialah keyakinan dan ia datang daripada kerajaan yang memberi mesej jelas bahawa ia mempunyai rancangan bagi memastikan pemulihan semula yang kukuh selepas PKP ditamatkan.

Shaun Cheah.

Ini antara lain termasuklah pembukaan ekonomi, insentif cukai dan langkah yang antara lain disesuaikan untuk perniagaan dan pelabur asing.

Beliau berkata, kerajaan melaksanakan beberapa langkah yang tidak selalunya efektif, dengan mengambil contoh program MyFutureJobs yang berkait rapat dengan sektor pembuatan.

Katanya, ramai rakyat tempatan tidak mahu bekerja di sektor itu berikutan stigma yang berkait dengan industri itu.

“Pada masa sama, banyak perniagaan di Malaysia mempunyai pesanan tertunggak, tetapi kekurangan pekerja untuk beroperasi pada kapasiti penuh,” katanya.

Berhubung masalah buruh, Cheah berkata, kerajaan boleh membantu perniagaan dengan mempercepatkan proses pengambilan pekerja asing yang sudah berada di negara ini bagi mengisi kekosongan pekerjaan yang tidak diminati oleh rakyat Malaysia itu, seperti di sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).

“Buat masa ini terdapat lebih banyak halangan berbanding ganjaran. Kami perlukan insentif untuk pulih semula selepas PKP tamat.”

Beliau juga berkata kerajaan perlu berunding dengan pemegang taruh sebelum memutuskan peraturan yang mempengaruhi perniagaan.

Ini kerana beberapa peraturan pencegahan Covid-19 tidak difikirkan dengan baik, dan kemudiannya terpaksa diubah.

Beliau memberi contoh lanjutan waktu operasi restoran dari pukul 8 pagi hingga 10 malam berikutan aduan orang ramai, perniagaan, dan parti politik.

Felo kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Ahmad Yazid Othman berkata, negara perlukan kurang politik pada masa ini .

Ahmad Yazid Othman.

Beliau berkata, perniagaan beroperasi dengan baik dalam persekitaran politik yang stabil dengan dasar dan peraturan yang konsisten.

“Apa yang kita perlukan sekarang adalah kurang bertengkar dan lebih banyak tindakan.

“Kita perlukan eksekutif yang berkesan untuk meneruskan agenda jangka panjang yang memberi manfaat kepada rakyat.”

Mengenai langkah yang boleh diambil oleh kerajaan, Yazid berkata, ia perlu lebih “pemurah” dan kreatif dalam mengumpulkan dana untuk menyokong orang ramai dan perniagaan.

“Jangan biarkan nyawa dan kehidupan dimusnahkan oleh kebimbangan diturunkan taraf oleh agensi perkadaran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.