
Mahkamah Tinggi membatalkan samannya terhadap inspektor polis Hazrul Hizham Ghazali kerana tidak membayar deposit RM70,000 untuk jaminan kos.
Dua hari lalu, Hakim Azimah Omar mengarahkan wanita itu, Nandine, membayar kos RM6,500 kepada Hazrul.
Hazrul memohon plaintif mendeposit RM70,000 untuk mengekalkan samannya kerana dia ialah warga asing.
(Wang itu akan dibayar sebagai kos guaman kepada Hazrul, jika mahkamah menolak saman Nandine.)
Pada 14 Dis lalu, Azimah memberi Nandine 30 hari untuk membayar jumlah itu, jika gagal berbuat demikian, samannya akan dianggap batal.
Peguamnya, Thomas Philip hari ini melancarkan kempen mengumpul dana untuk memfailkan semula saman baru di Mahkamah Sesyen dan membayar RM6,500 kepada Hazrul.
“Kami sudah melancarkan sebuah kempen PitchIN untuk mengumpul RM46,500 bagi pihak warga untuk perkara itu difailkan semula dan didengar di Mahkamah Sesyen.”
April tahun lalu, wanita itu memfailkan saman berkenaan, memohon perisytiharan yang dia ditahan secara tidak sah dan diserang secara seksual oleh Hazrul ketika perintah kawalan pergerakan.
Tahun lalu, Nandine diminta tinggal di sebuah rumah perlindungan untuk mangsa yang berpotensi diperdagangkan, tetapi dia kemudiannya pulang ke rumah.
Dalam kenyataan menerusi peguamnya, Nandine berkata, dia hilang reputasinya di Mongolia dan menghadapi kesukaran mendapat sokongan keluarga serta rakannya.
“Saya berdepan waktu sukar sekarang, tetapi saya tidak mahu berputus asa terhadap saman sivil saya kerana ia bermakna menyerah kepada inspektor polis itu,” katanya sambil berdoa orang ramai akan membantunya dalam saman itu.
Hazrul sedang berdepan pelbagai tuduhan rogol dan mencabul kehormatan dua wanita di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Dia didakwa merogol dua wanita Mongolia berusia 20 dan 36 tahun di dua bilik berlainan di sebuah hotel butik di Petaling Jaya pada 11 April 2020.
Dia turut berdepan dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam mengeksploitasi wanita itu untuk tujuan seksual di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.
Untuk maklumat lanjut atau menderma, sila layari https://www.reward.pitchin.my