Terima kasih dan selamat tinggal, kata duta besar AS ke Malaysia

Terima kasih dan selamat tinggal, kata duta besar AS ke Malaysia

Kamala Shirin Lakhdhir menyenaraikan pelbagai usaha AS menyokong Malaysia, termasuk sumbangan kepada ekonomi negara, perusahaan kecil dan sederhana (SME), dan penyelidikan berkaitan penyakit berjangkit ketika berdepan krisis kesihatan global.

Kamala Shirin berkata syarikat AS menyumbang hampir RM7 juta kepada barisan depan dan masyarakat tempatan susulan wabak.
PETALING JAYA:
Dua hari selepas presiden baharu AS, Joseph Biden dilantik, Kamala Shirin Lakhdhir, duta besar AS ke negara ini, mengucapkan selamat tinggal kepada Malaysia selepas tempoh empat tahun perkhidmatannya bakal berakhir tidak lama lagi.

Dalam satu perkongsian video di Facebook, Kamala menyenaraikan pelbagai usaha AS menyokong Malaysia, termasuk sumbangan kepada ekonomi negara, perusahaan kecil dan sederhana (SME), dan penyelidikan berkaitan penyakit berjangkit ketika berdepan krisis kesihatan global.

“Pada 2020, sektor perniagaan AS menyumbang hampir RM7 juta kepada barisan depan dan masyarakat tempatan susulan wabak. Saya yakin, pada 2021, mereka akan meneruskan usaha hebat itu,” katanya.

Mengenang kembali antara lawatan pertamanya ke Jabatan Hidupan Liar Sabah, Kamala memberi jaminan AS akan terus membantu Malaysia mengatasi penyeludupan haiwan liar dan melindungi ekosistemnya.

Kamala berkata AS juga komited memastikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka melalui kerjasama dengan pihak keselamatan wilayah dan maritim Malaysia.

Beliau turut menyatakan penghargaannya kepada populasi negara yang majmuk, sambil menyedari rakyat Malaysia yang belajar di akademi tentera AS “antara insan paling istimewa” pernah ditemuinya.

“Saya akan meninggalkan Malaysia namun hati saya tetap di sini. Saya akan sentiasa menjadi penyokong dan rakan dalam hubungan dua hala yang utuh dan bersandarkan kasih sayang antara rakyat Malaysia dan AS. Terima kasih.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.