Sanusi ‘cetek akal’ kerana persoal hak guna kepala surat kementerian, kata Saravanan

Sanusi ‘cetek akal’ kerana persoal hak guna kepala surat kementerian, kata Saravanan

M Saravanan mengunakan kepala surat kementerian menyerang kerajaan Kedah membatalkan cuti Thaipusam kerana hanya dirinya menteri wakil tunggal kaum India dalam Kabinet.

PETALING JAYA:
Perang mulut antara Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, dan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, terus membara di media sosial susulan pembatalan cuti peristiwa untuk sambutan Thaipusam di negeri itu.

Hari ini, Saravanan yang juga menteri sumber manusia, melabel Sanusi sebagai menteri besar “cetek akal” apabila mempersoal tindakan menggunakan kepala surat kementerian untuk mengulas isu cuti Thaipusam itu.

“Tak pernah saya melihat seorang MB yang begitu cetek akal.

“Saya bertanggungjawab ke atas wakaf Hindu di dalam Kabinet sebagai Menteri tunggal kaum India. Tiada salah saya suarakan isu masyarakat yang saya wakili (dengan) menggunakan posisi saya sebagai menteri,” katanya di Twitter ketika membalas kenyataan Sanusi.

Terdahulu, Sanusi menegur Saravanan kerana menggunakan kepala surat kementerian untuk tujuan politik apabila menyerang tindakan kerajaan negeri membatalkan cuti peristiwa Thaipusam.

“Menteri sumber manusia patut jaga bab kerja, dia kalut nak cuti (sampai) guna ‘letterhead’ (kepala surat) kementerian untuk buat kenyataan politik parti dia,” kata Sanusi.

Semalam, Saravanan menyifatkan Sanusi sebagai angkuh dan jahil apabila membatalkan cuti perisitiwa Thaipusam selepas sambutan awam perayaan itu dibatalkan bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang Covid-19.

Sanusi berkata kritikan Saravanan dan pemimpin MIC lain menunjukkan mereka mengikut “tarian perkauman” DAP.

Selain Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Perak turut mengisytiharkan Thaipusam sebagai cuti perisitiwa saban tahun, tetapi hanya Kedah yang membatalkan perisytiharan cuti berkenaan tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.