
Pakar kerajaan tempatan menyambut baik laporan penyelidikan bertajuk “Pengenalan Semula Pilihan Raya Kerajaan Tempatan di Malaysia” yang dilancarkan oleh Bersih 2.0 semalam.
Mengulas laporan tersebut, peguam Derek Fernandez berkata, kebimbangan mengenai konflik perkauman yang ditimbulkan oleh ahli politik tertentu hanyalah alasan untuk meneruskan politik kuasa dan perlindungan.
Beliau juga mempersoalkan penolakan pilihan raya sebagai kaedah untuk mengelakkan monopoli orang bukan Melayu di bandar.

Kajian Bersih 2.0 menunjukkan dakwaan orang bukan Melayu akan menguasai pihak berkuasa tempatan di bandar sudah ketinggalan zaman.
Kata Fernandez, jika pilihan raya bertanggungjawab mencetuskan perselisihan kaum, maka pilihan raya di semua peringkat juga patut dilarang.
“Bagaimanakah kita boleh mengadakan pilihan raya persekutuan dan negeri tanpa ketidakharmonian kaum? Kenapa pilihan raya kerajaan tempatan mesti berbeza?
“Terdapat 155 pihak berkuasa tempatan dan seperti juga kerusi negeri dan persekutuan, sistem gabungan parti akan mempengaruhi pemilihan calon dan menghapuskan kebimbangan,” katanya.
“Masyarakat sebenarnya tidak peduli dengan latar belakang kaum seseorang, mereka akan sekiranya seseorang itu mampu melakukan tugas,” katanya kepada FMT.
Penulis laporan itu Danesh Prakash Chacko berkata, orang Melayu adalah penduduk majoriti dan sekarang ramai daripada mereka tinggal di bandar dan pusat bandar.
Tahun lalu, Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin berkata, terdapat lebih ramai orang Cina di kawasan bandar berbanding etnik lain dan pilihan raya majlis tempatan boleh meluaskan jurang taraf hidup di antara etnik.
Danesh menolak dakwaan ini dengan memetik data banci 2010, yang menunjukkan masyarakat Cina hanya mempunyai majoriti di dua majlis tempatan, iaitu Majlis Daerah Kampar di Perak dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang ketika itu (kini Majlis Bandaraya Pulau Pinang).
Daripada lapan pihak berkuasa tempatan yang berstatus bandar raya, dua, iaitu Alor Setar dan Kuala Terengganu, mempunyai supermajoriti orang Melayu (melebihi 66% majlis tempatan) sementara dua majlis bandar raya, iaitu Shah Alam dan Melaka, mempunyai majoriti Melayu.
Data tahun 2010 juga menunjukkan daripada empat bandar raya dengan populasi campuran, hanya Kuala Lumpur dan Ipoh mempunyai majoriti Cina.
Sementara itu, bekas timbalan menteri perumahan Raja Kamarul Bahrin mengecam menteri semasa, iaitu Zuraida Kamaruddin kerana enggan mengeluarkan laporan kementerian mengenai isu ini.

Sebelum ini Zuraida berkata, kementeriannya berusaha menyediakan laporan mengenai pilihan raya kerajaan tempatan sejak Jun 2018, selain menambah, ia akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan.
Namun, berikutan bantahan Ahli Parlimen tertentu, beliau memutuskan untuk tidak meneruskan pembentangan laporan tersebut.
“Zuraida (yang pernah bersama PKR) sangat berminat dengan pilihan raya tempatan, walaupun ada yang tidak yakin dengannya.
“Sekarang ketika bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN), kenapa beliau menahan laporan yang disokongnya sebelum ini?
“Kementerian menghabiskan masa dan wang untuk melakukan kajian selama tiga tahun kebelakangan ini.
“Beliau mesti membentangkannya, jangan sia-siakannya,” kata Raja Kamarul kepada FMT.
Sementara itu, Fernandez meminta Zuraida untuk membentangkan model pilihan raya itu dan membenarkan masyarakat membuat keputusan.