
Setiausaha agung persatuan itu, Chang Kim Loong berkata, peraturan pembangunan perumahan menetapkan bahawa tidak ada sesiapa, termasuk pihak yang bertindak sebagai pemegang taruh, boleh memungut apa-apa bayaran kecuali seperti yang termaktub dalam kontrak penjualan.
“Meskipun demikian, tiada laporan pendakwaan di mahkamah terhadap pemaju perumahan dan ejen penjualan yang melanggar larangan ini,” katanya.
Kata Chang, jelas bahawa pemaju tidak dibenarkan memungut apa-apa bayaran daripada pembeli sebelum perjanjian jual beli ditandatangani.
Namun, ia adalah amalan biasa pemaju, dan yuran tempahan dipungut kerana penguatkuasaan yang lemah atau pincang.
“Undang-undang harus ditegakkan, bukan sekadar menjadi hiasan,” tambahnya.
Chang berkata memungut yuran tempahan adalah kesalahan jenayah dan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda hingga RM50,000 atau hukuman penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan memutuskan pengiraan pembayaran penyerahan lewat kepada pembeli rumah bermula dari tarikh yuran tempahan dibayar, bukan ketika perjanjian jual beli ditandatangani.
Panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan untuk menyebelahi lapan pembeli dari Melaka dan Kuala Lumpur, yang mengheret pemaju hartanah PJD Regency Sdn Bhd, GJH Avenue Sdn Bhd dan Sri Damansara Sdn Bhd ke tribunal perumahan kerana pembayaran penyerahan lewat.
Panel hakim itu berpendapat bahawa Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) dan peraturan yang berkaitan adalah undang-undang sosial yang bertujuan mengawal selia hubungan antara pihak yang lebih lemah dengan pihak yang lebih kuat.
“Memandangkan satu pihak sentiasa memiliki kelebihan berbanding pihak lain atas ketidaksetaraan kuasa tawar-menawar, (maka mahkamah) perlu campur tangan untuk menyeimbangkan keadilan dengan memberikan perlindungan kawal selia tertentu untuk kumpulan yang lebih lemah itu,” kata Tengku Maimun.
Chang berkata, pembeli membayar yuran tempahan kerana mereka mudah tertipu dan beranggapan ia sah kerana diamalkan oleh kebanyakan pemaju dan ejen.
Malah pemaju menyebut dalam mahkamah bahawa pengambilan yuran tempahan adalah “amalan standard”.
Kata Chang, spekulator akan membayar yuran tempahan untuk menempah satu atau dua unit dan kemudian berharap dapat memindahkannya kepada calon pembeli, dengan keuntungan.
Chang berkata, beberapa pemaju memungut yuran tempahan untuk mengukur pasaran bagi projek perumahan, sementara ada yang mendakwa mendapatkan pembiaya memerlukan jaminan margin penjualan sebelum pengeluaran pinjaman.
Katanya, dalam semua kes yang dikemukakan di mahkamah, pembeli membayar yuran tempahan dan kemudian baki deposit 10% di bawah perjanjian jual beli.
Bagaimanapun, pemaju akan memasukkan tarikh pilihan mereka untuk menentukan bila kontrak bermula.
Tidak ada ketetapan yang jelas dalam undang-undang perumahan dan perundangan subsidiari tentang bilakah perjanjian itu harus dibuat, tambahnya.