Pembantu perubatan tinggal nota sebelum terjun tingkat 3

Pembantu perubatan tinggal nota sebelum terjun tingkat 3

Lelaki berusia 39 tahun itu dijumpai dengan kesan kecederaan parah di kepala berhampiran kawasan letak motosikal di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Rakan mangsa memberitahu beliau dilihat murung sejak beberapa hari lalu, namun tidak berkongsi keadaannya itu dengan orang lain.
IPOH:
Seorang pembantu perubatan yang dipercayai tertekan kerana menghidap masalah kesihatan bertindak terjun dari tingkat tiga Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) semalam.

Mayat lelaki berusia 39 tahun itu dijumpai terbaring dengan kesan kecederaan parah di kepala berhampiran kawasan letak motosikal oleh pengawal keselamatan pada 6.30 petang.

Ketua Polis Ipoh, A Asmadi Abdul Aziz, berkata lelaki yang bekerja sebagai pembantu perubatan di hospital berkenaan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, mangsa yang sedang bertugas ketika itu dipercayai terjun dari tingkat tiga bangunan utama hospital tersebut.

“Mayat mangsa disahkan oleh rakan setugasnya yang turut menemui nota bunuh diri dalam beg milik mangsa.

A Asmadi berkata, turut dijumpai dalam beg tersebut ialah kad pengenalan diri mangsa, kad perubatan dan kad kaunseling.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperolehi.

Sementara itu, beberapa rakan mangsa yang ditemui di Jabatan Forensik HRPB memberitahu mangsa dilihat murung sejak beberapa hari lalu, namun tidak berkongsi keadaannya itu dengan orang lain.

Difahamkan, mangsa yang berkhidmat di hospital berkenaan lebih setahun lalu juga merancang untuk berkahwin pada Mei ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.