Kementerian Perpaduan salur peruntukan RM1.55 juta bagi penyediaan PPE

Kementerian Perpaduan salur peruntukan RM1.55 juta bagi penyediaan PPE

Peruntukan disalurkan kepada 115 KRT dijangka menghasilkan 400,000 unit keseluruhannya pada akhir Februari

Sebanyak 176,043 unit PPE disiapkan bagi kegunaan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan sejak 4 Jan lepas. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Perpaduan menyalurkan peruntukan RM1.55 juta kepada 115 kawasan rukun tetangga (KRT) bagi menjahit dan menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) bermula Mei tahun lepas.

Menteri berkenaan Halimah Mohamed Sadique berkata sehingga 4 Jan lepas, sebanyak 176,043 unit PPE disiapkan bagi kegunaan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM).

Jelasnya, program tersebut dihasilkan oleh KRT di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, serta Selangor, Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Sarawak dan Sabah.

“Program ini dijalankan dalam lima fasa agihan dan dijangka menghasilkan sejumlah 400,000 unit keseluruhannya pada akhir Februari ini. Peralatan PPE dihasilkan ialah isolation gown, round cap, shoes cover, boot cover dan pelindung muka.

“Inisiatif kementerian melalui jentera perpaduan KRT ini adalah tenaga sukarela komuniti setempat bagi membantu membekalkan keperluan peralatan PPE kepada petugas barisan hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Halimah berkata penyediaan peralatan PPE oleh KRT itu adalah inisiatif dijalankan secara berterusan mengikut keperluan semasa dan kementerian komited meneruskan sumbangan tersebut dalam usaha bersama untuk memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.