Denda anak kecil berbasikal? Berita palsu, kata polis

Denda anak kecil berbasikal? Berita palsu, kata polis

Polis menafikan cerita tular yang mendakwa bapa kepada dua kanak-kanak didenda kerana anak-anaknya tidak patuh peraturan ketika berbasikal.

Dua kanak-kanak tersebut dan juga individu yang dikompaun tiada kaitan.
PETALING JAYA:
Seorang bapa didenda kerana anaknya berbasikal tanpa memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan sosial? Anda mesti bergurau, kata polis.

Polis menafikan cerita tular yang mendakwa bapa kepada dua kanak-kanak didenda kerana anak-anaknya itu tidak mematuhi peraturan ketika berbasikal.

Mesej yang tersebar di media sosial dan WhatsApp itu, diiringi dua gambar, satu memaparkan anggota polis menghampiri dua anak kecil yang menunggang basikal, dan satu lagi gambar kompaun yang kononnya dikenakan kerana kanak-kanak berkenaan melanggar peraturan.

Kompaun RM1,000 oleh polis Kuala Langat itu kerana tidak memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Ketua Polis Kuala Langat, Azizan Tukiman, ketika dihubungi FMT mengesahkan kompaun itu, tetapi ia dikenakan kepada orang lain, bukannya bapa kepada dua kanak-kanak berbasikal seperti yang ditularkan.

“Tindakan kompaun ini pada 18 Jan. Jika kita lihat gambar anggota polis bersama dua kanak-kanak menaiki basikal itu adalah isu yang berlainan, dan gambar itu semasa anggota polis membuat rondaan pencegahan jenayah di kawasan taman perumahan.”

Beliau menjelaskan dua gambar berkenaan tiada kaitan, begitu juga orang yang dikompaun dengan dua kanak-kanak itu.

Katanya, dua kejadian itu sudah dimanipulasikan untuk memburukkan polis seolah-olah ia tiada sensitiviti dan tiada budi bicara dalam tindakannya.

Azizan menggesa orang ramai tidak menularkan berita palsu seperti ini kerana boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menimbulkan ketidakharmonian.

“Ini adalah satu jenayah dan tindakan boleh diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab,” kata beliau, meminta rakyat mengesahkan cerita sebelum berkongsi.

“Orang awam boleh merujuk bilik gerakan IPD Kuala Langat atau mana-mana balai polis sekiranya ingin mendapatkan pengesahan sesuatu berita yang tidak sahih atau was-was. Operasi bilik gerakan dan balai-balai polis kita beroperasi 24 jam.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.