
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin berkata setakat ini, lapan saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli.
“Lapan saksi pendakwaan yang telah selesai memberikan keterangan termasuklah polis dan Syed Saddiq, 29, yang merupakan saksi keempat, yang mana beliau selesai memberi keterangan pada 30 Jan tahun lepas,” katanya kepada Bernama.
Hairuliqram berkata perbicaraan yang sepatutnya dijadualkan bersambung pada 25 Jan ditangguhkan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Mahkamah menetapkan tarikh baharu sambung bicara pada 2 dan 3 Mac.
Papagomo, nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 38, menghadapi pertuduhan mengaibkan kehormatan Syed Saddiq dengan menyebut “kau bodoh” di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian di sini pada 11.05 pagi, 16 Feb 2019.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang juga EXCO Pemuda Umno, turut didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap pengasas parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu, di bahagian leher dan bahu, di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.