Anak hilang upaya kekal, bapa saman kerajaan, hospital, doktor cuai

Anak hilang upaya kekal, bapa saman kerajaan, hospital, doktor cuai

Remaja itu pada awalnya dimasukkan ke Hospital Ampang kerana tindak balas alergi pada kemaluannya.

Vimal Raj hilang upaya kekal selepas beberapa pembedahan dilakukan di sebuah hospital kerajaan.
KUALA LUMPUR:
Seorang bapa memfailkan saman kecuaian perubatan terhadap sebuah hospital kerajaan dan doktornya selepas anak lelakinya hilang upaya kekal susulan beberapa pembedahan.

K Vimal Raj, 17, terpaksa dipotong anggota badan iaitu lengan kirinya di bawah siku, kaki kanannya di bawah paras lutut dan tumit serta jari kaki kiri pada 2019.

J Krishnasamy, yang memfailkan saman menerusi Tetuan AJ Ariffin, Yeo & Harpal, di sini, bulan lalu berkata, disebabkan kecuaian dan pelbagai pelanggaran, remaja itu kini dikategorikan orang kurang upaya.

Kementerian Kesihatan (KKM), Hospital Ampang, tiga doktor dan kerajaan dinamakan sebagai defendan dalam saman itu.

Krishnasamy menuntut ganti rugi khas, teruk, contoh, dan am.

Krishnasamy, 46, sebelum ini pemandu lori namun tidak lagi bekerja untuk menjaga Vimal Raj. Isterinya pengawal keselamatan dan kini penanggung utama keluarga itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata, Vimal Raj kanak-kanak normal tanpa penyakit kritikal atau masalah genetik selain cuma mengalami tindak balas alergi di kemaluannya sebelum dimasukkan ke hospital.

Beliau cuma didiagnos menghidap “balanitis” (radang kelenjar zakar) yang mengikut Cleveland Clinic adalah keadaan yang boleh dirawat yang lazimnya dialami lelaki tidak dikhatan.

Rawatan lazimnya melibatkan penggunaan krim antikulat, antibiotik, penjagaan kebersihan diri dan berkhatan.

Pada 15 Jan 2019, Vimal Raj dimasukkan ke hospital dan dibenarkan pulang dua hari kemudian tanpa pulih sepenuhnya daripada balanitis.

Beliau pengsan di rumah dan terus dibawa ke jabatan kecemasan hospital itu untuk rawatan.

Pada 23 Jan disebabkan Vimal Raj masih tidak sedarkan diri dan dalam keadaan koma, kakitangan perubatan hospital itu meletakkannya di unit rawatan rapi.

Seorang kakitangan perubatan yang menjaga remaja itu mengarahkan Krishnasamy menandatangani borang keizinan yang kosong tanpa menjelaskan risiko serta jenis rawatan dan ubatan akan diberikan kepada anaknya itu.

Keesokannya, Krishnasamy melihat jari dan tangan Vimal Raj menjadi gelap sebelum bertukar hitam dan bengkak.

Krishnasamy berkata, kakitangan perubatan hospital gagal dan cuai dalam memberikan sebarang maklumat kepadanya.

Antara 15 Mac hingga 26 Nov 2019, lengan kanak-kanak itu dari paras bawah siku, kaki kanan di bawah lututnya serta tumit kaki dan jari kaki kiri dipotong seterusnya menyebabkan kecacatan teruk.

Krishnasamy berkata, ketika Vimal Raj dimasukkan ke Hospital Ampang, kakitangan perubatan hospital mendiagnos anaknya dengan pelbagai penyakit seperti kanser, HIV, tuberkulosis, dan gangren periferal melibatkan lengan kiri dan kedua-dua kaki.

Bagaimanapun, katanya sehingga kini hospital gagal memberikan laporan atau diagnosis semua penyakit itu.

Menurutnya, hospital juga gagal membuat diagnosis sebenar penyakit dialami Vimal Raj dan kegagalan itu menyebabkannya diberikan pelbagai jenis ubatan tanpa mengetahui asal penyakit dideritainya.

Hospital pada mulanya enggan memberikan butiran penuh rawatan dan ubatan diberikan kepada remaja itu.

Pada 8 Jan lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache memerintahkan kementerian dan hospital memberikan Krishnasamy laporan, nota, rekod dan borang keizinan dalam tempoh 14 hari.

Hakim turut memerintahkan hospital dan kerajaan memfailkan pembelaan mereka sebelum Jumaat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.