Ahli ekonomi sokong rancangan keseluruhan kerajaan untuk perangi pandemik

Ahli ekonomi sokong rancangan keseluruhan kerajaan untuk perangi pandemik

Mereka berkata ia akan memberi mesej yang tepat kepada pelabur.

Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata pendekatan menggabungkan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan negara’ ideal untuk mengurangkan kebimbangan pelabur.
PETALING JAYA:
Dua ahli ekonomi memberi sokongan kepada seruan menyelaraskan perang melawan Covid-19 melibatkan pelbagai agensi kerajaan.

Mengulas aduan veteran DAP, Lim Kit Siang, baru-baru ini mendakwa Putrajaya mengabaikan cadangan untuk suatu pendekatan ‘keseluruhan kerajaan’ dalam memerangi wabak, Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway dan Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berkata pelabur mungkin melihat penyelarasan tersebut sebagai cerminan kepada kestabilan kerajaan.

Yeah berkata pelabur akan merasa yakin sekiranya kerajaan mempunyai strategi yang jelas dan dipertimbangkan dengan baik, dan menunjukkan penyelarasan yang baik dari semua agensi dalam melaksanakan dasar untuk mengurangkan krisis kesihatan dan ekonomi.

Katanya, situasi ‘flip-flop’ terhadap jenis perniagaan yang dibenarkan beroperasi bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) baru-baru ini tidak akan berlaku bawah pendekatan keseluruhan kerajaan yang baik, kerana keputusan utama akan disepakati oleh semua kementerian yang berkaitan.

Yeah Kim Leng.

Tetapi beliau beritahu FMT pendekatan menggabungkan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan negara akan lebih menarik bagi para pelabur.

Beliau menyifatkan idea pendekatan keseluruhan negaranya sebagai merangkumi pengumpulan input dari pemegang taruh sektor swasta, persatuan industri, dan kumpulan pakar untuk memastikan dasar dan tindakan yang diambil tidak hanya inklusif tetapi disokong oleh fakta dan bukti.

“Pendekatan keseluruhan kerajaan yang digabungkan dengan pendekatan keseluruhan negara akan menyumbang kepada imej kerajaan yang kompeten dan responsif,” katanya.

“Ia akan menimbulkan persepsi kerajaan mendengar dan bertindak secara bertanggungjawab dan berhemah, menggunakan sumber kementerian sepenuhnya dan kebijaksanaan ketua-ketua kerajaan untuk menyelesaikan krisis yang sedang dihadapi.”

Shankaran Nambiar.

Nambiar menyeru satu pendekatan dwipartisan dan penglibatan semua segmen masyarakat dalam mencari cara mengurangkan penyebaran wabak.

Beliau berkata sekarang “masanya” dan menuju ke arah itu akan menampilkan imej Malaysia sebagai negara di mana perbezaan dapat diketepikan dalam menghadapi musuh bersama.

“Ini akan menunjukkan ukuran kematangan yang mungkin memberi inspirasi kepada pelabur,” katanya. “Ini akan menunjukkan kerajaan cukup matang untuk dapat duduk bersama dengan penggubal undang-undang yang berbeza pandangan.”

Rajah Rasiah.

Rajah Rasiah, seorang profesor ekonomi di Universiti Malaya, berkata penutupan syarikat penting bawah pelaksanaan PKP yang ketat di sektor tertentu salah satu sebab Malaysia ketinggalan berbanding Indonesia dan negara jiran lain dalam aliran masuk pelaburan asing.

“Ini menunjukkan penurunan dalam penyelarasan antara syarikat multinasional dan Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa,” katanya.

“Sebagai contoh, Toyota dan Honda adalah syarikat multinasional besar yang memerlukan perhatian khusus. Meminta mereka tutup (operasi) di negeri-negeri bawah PKP tidak menunjukkan pemahaman tentang bagaimana syarikat beroperasi.”

Beliau memberi amaran, ini akan mempengaruhi output, pekerjaan, dan eksport serta mengganggu rantaian bekalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.