Prasarana nafi tren sesak semasa PKP

Prasarana nafi tren sesak semasa PKP

Prasarana menegaskan semua perkhidmatan rel Rapid KL beroperasi dengan mematuhi rapi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan.

Prasarana berkata tiada kesesakan berlaku ketika perintah kawalan pergerakan dan mempelawa media melakukan tinjauan sendiri di stesen monorel supaya mereka boleh melihat keadaan sebenar.
KUALA LUMPUR:
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyifatkan laporan berita oleh sebuah portal sebagai mengelirukan dengan memaparkan keadaan sesak dalam sebuah tren monorel ketika Kuala Lumpur dan Selangor dikenakan arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0.

Dalam kenyataan, syarikat itu turut mempelawa media melakukan tinjauan sendiri di stesen monorel supaya mereka boleh melihat keadaan sebenar.

“Prasarana melahirkan rasa sangsi bahawa gambar berkenaan dirakam ketika PKP yang bermula pada 13 Jan lepas.

“Pihak kami sentiasa memantau keadaan semasa dalam semua perkhidmatan rel kami – MRT, LRT dan monorel dan sepanjang pengetahuan kami tidak pernah berlaku kesesakan atau ‘overcrowding’ seperti dinyatakan oleh laporan berkenaan,” kata syarikat itu.

Prasarana menegaskan semua perkhidmatan rel Rapid KL beroperasi dengan mematuhi rapi syarat prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan.

Prasarana juga sentiasa memberikan peringatan di dalam tren dan di stesen untuk sentiasa mengamalkan prinsip 3C (jauhi kawasan yang sesak, elakkan kawasan yang sempit dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat) dan 3W (kerap cuci tangan, memakai pelitup muka dan amaran) seperti disaran kerajaan, katanya.

Sebuah portal berita sebelum ini menyiarkan artikel disertai foto tidak bertarikh memaparkan keadaan penumpang di dalam sebuah tren monorel dengan tajuk “KL under MCO, but monorail packed to the brim during rush hour”.

Artikel berkenaan menyebut gambar-gambar itu dihantar seorang penumpang tidak bernama mempersoalkan mengapa keadaan itu berlaku ketika Kuala Lumpur dan Selangor dalam tempoh PKP.

Sementara itu, Prasarana berkata jumlah penumpang monorel jatuh mendadak kepada lebih kurang 10,000 penumpang sehari secara purata sejak PKP tahun ini bermula berbanding 46,000 sehari pada 2019 sebelum negara berhadapan pandemik Covid-19.

“Jumlah keseluruhan penumpang rel ketika tempoh PKP ini adalah lebih kurang 150,000 orang sehari (hari bekerja), penurunan hampir 80% berbanding tempoh pra-Covid-19 iaitu 700,000 orang sehari,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.