Boleh pinjam bangunan jadi depoh sementara semasa darurat, kata KSN

Boleh pinjam bangunan jadi depoh sementara semasa darurat, kata KSN

Mohd Zuki Ali berkata, memindahkan pesalah ke depoh sementara untuk mengurangkan bilangan tahanan dalam penjara dapat membantu pematuhan SOP.

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali berkata, tahanan yang bakal menghampiri tempoh tamat hukuman penjara mungkin boleh dicadangkan untuk dibebaskan lebih awal. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Kesesakan di dalam penjara hingga boleh mengakibatkan penularan dan peningkatan kes Covid-19 dijangka dapat dikekang dengan adanya ordinan khas di bawah proklamasi darurat, kata Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata, Kluster Keselamatan di bawah Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat boleh mencadangkan untuk meminjam dan mengguna pakai mana-mana bangunan sebagai depoh sementara.

“Kesesakan di penjara antara faktor menyebabkan meningkatnya kes Covid-19 kerana kita faham ‘nature’ di penjara, bilangan pesalah itu berada setempat dan terkurung dalam kapasiti yang ramai.

“Maka, untuk mengekang atau mengurangkan potensi berjangkitnya Covid-19, mungkin satu ordinan boleh kita bentuk, dengan memindahkan pesalah ke dalam depoh sementara untuk mengurangkan bilangan tahanan dalam penjara, sekaligus dapat mematuhi SOP.”

Zuki berkata demikian dalam program Bicara Naratif oleh RTM yang bertajuk “Pengurusan Darurat: Pendekatan Strategik Memerangi Covid-19” yang turut disertai Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Mohd Rabin Basir sebagai panel.

Dalam masa sama, Zuki berkata, tahanan yang bakal menghampiri tempoh tamat hukuman penjara, misalnya berbaki sebulan atau dua bulan, mungkin boleh dicadangkan untuk pembebasan lebih awal.

“Kita boleh meminda akta atau memperkenalkannya…kalau diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, kita boleh memendekkan tempoh hukuman mereka.

“Ini semua contoh cadangan, perkara ini kita akan bincangkan secara teliti dengan setiap kluster akan mengemukakan cadangan kepada Sidang Khas MKN dan sekiranya Sidang Khas MKN bersetuju, ia akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.”

Katanya, di bawah pengurusan darurat, kerajaan juga akan dapat mengawal sebarang aktiviti sabotaj atau kenaikan harga barangan bagi memastikan tiada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas pandemik Covid-19.

“Selama ini, akta kawalan harga dilaksanakan hanyalah ketika musim perayaan, jadi dalam keadaan darurat ini, kita boleh memperkenalkan dan menggunakan ordinan untuk tujuan mengawal harga barangan…kita tidak mahu ada yang mengambil kesempatan,” katanya sambil menambah cadangan itu akan diberi fokus di bawah Kluster Ekonomi.

Selain Kluster Keselamatan dan Ekonomi, empat kluster utama lain ialah kesihatan, pendidikan, komunikasi serta perhubungan persekutuan dan negeri akan diberi fokus oleh kerajaan susulan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat.

Jawatankuasa teknikal ini antara lain bertanggungjawab memantau isu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan darurat, selain meneliti serta mengkaji isu berbangkit berkaitan darurat dan mengesyorkan cadangan penyelesaian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.