‘Bayaran lewat’ bermula dari tarikh yuran tempahan dibuat, kata mahkamah

‘Bayaran lewat’ bermula dari tarikh yuran tempahan dibuat, kata mahkamah

Ketua hakim negara berkata, mahkamah tidak akan menyokong cubaan untuk memintas perlindungan yang wujud dalam perundangan untuk melindungi pembeli.

Chang Kim Loong (tiga dari kiri) bersama peguam Kok Kean Kang, Viola D Cruz, Andy KL Wong dan Rex RS Wong di mahkamah, tahun lalu. (Gambar Chang Kim Loong)
PUTRAJAYA:
Pengiraan bagi pembayaran penyerahan lewat kepada pembeli rumah bermula dari tarikh yuran tempahan dibayar, bukannya ketika perjanjian sewa beli ditandatangani, kata Mahkamah Persekutuan hari ini.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) dan undang-undang subsidiarinya adalah perundangan sosial yang diterima pakai.

Sebuah syarikat pemaju dalam rayuannya mendakwa kontrak berjadual mesti dibaca secara harfiah selaras dengan niat pihak-pihak terbabit.

Mahkamah bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan itu.

“Kami berpendapat hujahan itu tidak dapat dipertahankan. Apabila mentafsirkan perundangan sosial, mahkamah mesti melihat niat Parlimen, bukannya pihak-pihak terbabit,” kata Tengku Maimun.

“Jika tidak, sia-sialah usaha penggubal undang-undang untuk mengimbangkan kuasa rundingan,” katanya dalam penghakiman yang membenarkan tujuh rayuan dikemukakan pembeli.

Pembeli dari Melaka dan Kuala Lumpur itu memfailkan saman terhadap pemaju – PJD Regency Sdn Bhd, GJH Avenue Sdn Bhd dan Sri Damansara Sdn Bhd – di tribunal perumahan bagi pembayaran ganti rugi tertentu dan ditetapkan.

Tengku Maimun berkata, mahkamah tidak akan menyokong cubaan untuk memintas perlindungan yang wujud dalam perundangan untuk melindungi pembeli.

“Walaupun pemaju mungkin menganggap sebagai amalan perdagangan biasa untuk menerima yuran tempahan, ini jelas berbeza daripada apa dikehendaki undang-undang,” katanya.

Mahkamah berkata, ganti rugi tertentu dan ditetapkan yang perlu dibayar oleh pemaju perumahan kepada pembeli kerana kelewatan menyerahkan pemilikan kosong dalam projek perumahan bermula ketika yuran tempahan dibayar, bukannya ketika perjanjian jual beli ditandatangani antara pemaju dengan pembeli.

Beliau mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Nallini Pathmanathan, Abdul Rahman Sebli, Zabariah Yusof, dan Mary Lim Thiam Suan. Penghakiman sebulat suara itu disampaikan menerusi prosiding maya susulan perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan minggu lalu.

Dalam satu daripada kes berkenaan, pembeli Wong Kien Choon membeli hartanah daripada PJD Regency di Kuala Lumpur pada harga RM501,800 dan membayar yuran tempahan RM10,000 pada 16 Jan 2013.

Perjanjian jual beli ditandatangani pada 21 Mac 2013 dan kontrak menyatakan pemilikan kosong mesti diserahkan dalam tempoh 42 bulan atau sebelum September 2016.

Bagaimanapun, pemaju hanya meminta Wong datang mengambil kunci kediamannya pada 23 Jan 2017.

Wong meminta pemaju membayar ganti rugi tertentu dan ditetapkan berjumlah RM33,000 namun dipertikaikan pemaju terbabit.

Perkara itu dirujuk kepada tribunal perumahan yang memihak kepada Wong. PJD mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi serta Rayuan, namun ditolak.

Peguam Kok Kean Kang, Viola D Cruz, Andy KL Wong, dan Rex RS Wong mewakili Wong dan seorang lagi pembeli, Ng Chee Kuan.

Sementara itu, setiausaha agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) Chang Kim Loong berkata keputusan itu bersejarah dan satu lagi kemenangan untuk golongan pembeli rumah.

Beliau menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyelesaikan isu itu dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pemaju, ejen hartanah, peguam, atau mana-mana pihak ketiga yang kononnya bertindak bagi pihak pemaju untuk mengutip yuran tempahan.

“Belum ada pendakwaan dilaporkan bagi tindakan pelanggaran undang-undang seperti ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.