‘Syurga’ buat penjual ayam, terima kasih TNB

‘Syurga’ buat penjual ayam, terima kasih TNB

Akhirnya empat sekeluarga di Pulau Pinang mendapat kediaman yang selesa.

Rumah baru yang dibina TNB untuk Suzana Mansor dan keluarganya di Balik Pulau, Pulau Pinang.
GEORGE TOWN:
Langit tidak selalunya mendung, demikian kehidupan seorang penjual ayam, Suzana Mansor dan keluarganya yang berubah sejak berpindah ke rumah baru yang dibina bawah projek bantuan Baiti Jannati, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Minggu lalu, TNB menyerahkan kunci rumah seluas 650 kaki persegi itu kepada Suzana yang turut dilengkapi perabot asas serta peralatan elektrik.

Biarpun sekadar rumah biasa, Suzana sekeluarga menganggap ia umpama “syurga” berikutan sebelum ini pernah tinggal di reban ayam dan di rumah usang yang hampir runtuh di ladang kelapa sawit di Balik Pulau sejak lima tahun lalu.

TNB terdorong untuk membantu mereka selepas melihat pendedahan dibuat FMT mengenai kedaifan keluarga itu Mei lalu. Pada mulanya TNB menyalurkan bekalan elektrik ke rumah mereka diikuti proses pembinaan kediaman baru untuk mereka.

Suzana Mansor, suaminya Rosman Darus dan dua anak mereka di luar rumah baru mereka.

Rumah itu dibina di atas tanah sama dengan rumah lama, yang diwarisi Suzana daripada datuknya.

Sebelum rumah baru itu dibina, TNB membina sebuah pondok sementara buat keluarga berkenaan di belakang rumah yang sedang dalam pembinaan.

Suzana menghubungi FMT, sebaik menerima kunci rumahnya untuk mengucapkan terima kasih kerana mendedahkan kesusahan dilalui keluarganya.

“Syukur kepada Tuhan,” katanya dalam tangis gembira. “Saya sangat gembira kerana akhirnya memiliki rumah lengkap dengan lampu dan kipas.”

Suzana Mansor di luar kediaman lamanya di ladang kelapa sawit di Balik Pulau.

Ketua Peruncitan TNB Pulau Pinang U Ananda Rani Ulaganathan, yang menyerahkan kunci rumah itu kepada Suzana, memberitahu FMT kediaman yang dibina bawah projek Baiti Jannati biasanya berharga RM50,000 setiap satu. Tetapi dalam kes Suzana, TNB membelanjakan tambahan RM20,000 untuk mengukuhkan asas rumah dan membekalkan kelengkapan.

Sehingga Dis lalu, syarikat telah membelanjakan RM30.4 juta untuk membina 703 rumah bawah projek itu.

Ibu kepada dua anak perempuan berusia lima dan tujuh itu berkata, dia berharap dapat memberi tumpuan kepada perniagaan menternak ayam bagi membolehkannya menampung keluarga.

Suaminya, Rosman Darus, seorang pengutip sampah, tidak dapat bekerja selepas patah kaki dalam satu kemalangan dengan sebuah treler bulan lalu.

Suzana Mansor dengan motosikalnya, bersama anaknya menjual ayam.

Kerajaan Pulau Pinang, melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, membina reban ayam dan memberikannya 100 ekor anak ayam Okt lalu bawah projek perintis ternakan ayam.

Dia yang menaiki motosikal untuk menjual ayam bersama dua anaknya berharap mendapatkan kereta sorong motosikal demi keselamatan anak-anaknya. Dia juga memohon sumbangan peti sejuk terpakai.

Pembaca yang ingin membantu Suzana boleh menghantar pesanan WhatsApp ke Talian Bantuan FMT di 019 3899839.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.