Polis siasat sama ada ‘frontliner’ terlibat pesta bir pusat kuarantin

Polis siasat sama ada ‘frontliner’ terlibat pesta bir pusat kuarantin

Hasil siasatan awal, polis percaya bir itu dibawa pesakit sendiri kerana tiada pemeriksaan isi kandungan beg oleh petugas PKRC.

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki di katil bersama tin dan bekas berisi bir.
KOTA KINABALU:
Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan sekumpulan individu minum bir di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini.

Katanya, polis akan menyiasat jika ada petugas barisan depan yang turut terlibat dalam membantu membawa masuk bir itu ke PKRC.

“Hasil siasatan awal, polis percaya minuman keras berkenaan dibawa oleh pesakit sendiri berikutan tiada tindakan pemeriksaan isi kandungan beg oleh petugas di situ.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan terdapat ‘frontliner’ bertugas yang membantu membawa masuk minuman berkenaan ke dalam pusat itu,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut dengan mengambil keterangan kakitangan di PKRC itu dan mengesan individu terbabit dalam rakaman video berkenaan.

Terdahulu, dalam video yang tular itu, sekurang-kurangnya lapan individu terbabit dalam aktiviti minum minuman keras di pusat berkenaan.

Video 12 saat yang tersebar di media sosial sejak kelmarin menunjukkan seorang lelaki memegang tin bir sambil berbual dengan orang lain dan seorang lelaki dilihat bersama dua bekas berisi bir di penghujung rakaman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.