Hasil Sabah 40%: Mahkamah benarkan permohonan penangguhan Putrajaya

Hasil Sabah 40%: Mahkamah benarkan permohonan penangguhan Putrajaya

Mahkamah Rayuan menyatakan kerajaan persekutuan akan 'terjejas dengan jelas' sekiranya dipaksa mematuhi perintah Mahkamah Tinggi sebelum sempat membentangkan rayuannya.

istana kehakiman Federal Court
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan dana awam akan terjejas secara serius dari segi kewangan jika permohonan kerajaan pusat untuk penangguhan tidak dibenarkan.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan kerajaan persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan hak Sabah terhadap 40% hasil diperoleh daripada negeri itu.

Dalam memberikan perintah penangguhan itu, Hakim Zaini Mazlan berkata Putrajaya akan ‘jelas terjejas’ jika dipaksa melaksanakan perintah itu tanpa diberi peluang mengemukakan hujah dalam rayuan.

“Kami juga mendapati perintah mahkamah bukan sahaja mengarahkan rundingan diadakan, malah turut mewajibkan pembayaran daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan dalam tempoh 180 hari selepas keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Menurut Zaini, jika penangguhan tidak diberikan sementara menunggu rayuan, ia boleh membawa kesan kewangan yang besar terhadap dana awam.

Tambahnya lagi, tempoh masa ditetapkan mungkin tidak mencukupi untuk kedua-dua pihak menentukan jumlah sebenar yang perlu dibayar.

Panel itu turut dianggotai oleh Hakim Ismail Brahim dan K Muniandy. Mahkamah tidak membuat sebarang perintah berkaitan kos.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada tahun lalu melalui semakan kehakiman difailkan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) memutuskan bahawa kerajaan persekutuan telah melanggar tanggungjawab perlembagaannya kerana gagal menunaikan bayaran 40% hasil bersih kepada Sabah bagi tempoh dari 1974 hingga 2021.

Mahkamah turut mendapati tiada semakan dibuat sehingga 2022.

Selain itu, kerajaan persekutuan diarahkan menjalankan semakan bersama kerajaan Sabah dalam tempoh tiga bulan bagi menentukan jumlah sebenar bayaran 40% bagi tempoh terbabit.

Mahkamah juga memerintahkan satu persetujuan dicapai dalam tempoh enam bulan dari tarikh penghakiman (17 Okt 2025), iaitu sebelum 15 April.

Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili kerajaan pusat, manakala SLS diwakili oleh David Fung dan Jeyan Marimuttu.

Peguam Besar Sabah Brenndon Keith Soh mewakili kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.