
“Program vaksinasi perlu dilaksanakan segera supaya negara dapat mencapai imuniti kelompok (herd immunity) sekitar 70% daripada jumlah penduduk negara,” kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia, Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
“Sekiranya pemvaksinan rakyat selesai, proses pembukaan ekonomi dapat dilaksanakan dengan lebih giat dan ini mampu menyakinkan semula pelabur asing,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun beliau berkata, unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6.5% hingga 7.5% untuk tahun ini oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz sebelum ini, dilihat tidak realisitik.

Menurut beliau, kerajaan harus menyemak semula unjuran itu berdasarkan situasi semasa.
Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata, sekiranya Covid-19 tidak ditangani secara berkesan pertengahan tahun ini, pertumbuhan itu tidak mungkin di capai.
Malah katanya, Malaysia berdepan risiko pengganguran kronik yang boleh mencecah angka 1 juta.
Akhir tahun lalu, Tengku Zafrul menjangkakan ekonomi negara pulih semula tahun ini berdasarkan perkembangan ekonomi global dan laporan vaksin Covid-19 sedia digunakan pada pertengahan 2021.
Beliau turut mengunjurkan KDNK negara akan berkembang 6.5% hingga 7.5% tahun ini sejajar dengan jangkaan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta Bank Dunia, iaitu kira-kira 6% hingga 8%.
Bagaimanapun unjuran itu kini dipersoalkan susulan perisytiharan darurat sehingga Ogos 1.
Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) turut dilaksanakan semula di Selangor, Johor, Pulau Pinang, Melaka, dan, Sabah, selain di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan sehingga 26 Jan, namun boleh dilanjutkan jika keadaan wabak Covid-19 tidak bertambah baik.
Darurat pula hanya akan ditamatkan lebih awal, sekiranya lekuk Covid-19 berjaya dilandaikan.
Langkah mengisytiharkan darurat dan PKP 2.0 diambil berikutan peningkatan kes positif Covid-19 yang naik mendadak sejak beberapa minggu yang lalu.
Sehingga semalam, lebih 151,000 kes positif dengan 586 kematian dicatatkan.
Afzanizam berkata, pertumbuhan di semua negeri dan Wilayah Persekutuan di bawah PKP akan terjejas jika sekatan itu dilanjutkan, sekali gus memberi impak kepada keseluruhan ekonomi negara.
Malah katanya, kadar pengangguran juga dijangka terus tinggi berikutan beberapa sekatan membabitkan syarikat swasta, yang menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Berdasarkan laporan semasa Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran meningkat dengan ketara kepada 764,400 pada Nov 2020 berbanding 508,200 orang pada Dis 2019, peningkatan sebanyak 250,000 orang dalam tempoh kurang 12 bulan.

Razman berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi sekitar 7% berkemungkinan tidak mampu dicapai jika pandemik Covid-19 tidak ditangani sepenuhnya selewat-lewatnya pertengahan tahun ini.
“Ketidakstabilan politik yang berpanjangan juga dilihat antara risiko utama yang boleh menjejaskan pemulihan berbentuk V sepanjang tahun ini,” katanya.
Menyentuh mengenai kadar pengangguran, beliau berkata, angka itu dijangka terus meningkat sehingga melebihi 800,000 tidak lama lagi kerana pasaran pekerjaan masih lembab.
“Jika pemulihan ekonomi tidak dilakukan dengan segera, (kadar pengangguran) boleh menghampiri angka satu juta, terutamanya jika mengambil faktor graduan universiti yang tamat pengajian dan mencari pekerjaan,” katanya.
Razman menggesa kerajaan mempercepatkan kelulusan Bantuan Prihatin Rakyat dan menyalurkannya seawal Feb kepada orang ramai bagi menggalakkan perbelanjaan dan merangsang ekonomi domestik
“Kerajaan juga perlu mempercepatkan penyaluran peruntukan dalam Belanjawan 2021 kepada golongan sasar.
“Di samping itu, usaha juga harus dibuat untuk memperluaskan subsidi upah kepada pekerja sektor lain yang layak, bukan hanya untuk sektor pelancongan dan peruncitan.
Beliau juga menggesa kerajaan menyegerakan pelaksanaan program MySTEP yang dijangka menawarkan 50,000 peluang pekerjaan baharu.
Inisiatif MySTEP atau Program Pekerjaan Jangka Pendek yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 menawarkan 35,000 peluang pekerjaan secara kontrak di sektor awam dan baki 15,000 dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula bulan ini.