Pembaca sumbang lebih RM40,000, pelajar tergamam dengan kemurahan hati

Pembaca sumbang lebih RM40,000, pelajar tergamam dengan kemurahan hati

Sumbangan yang diterima lebih daripada cukup untuk membayar tunggakan yuran sebanyak RM30,000.

J Kirroshnie membantu bapanya yang diserang strok dan tidak mampu lagi bekerja.
PETALING JAYA:
Pelajar perubatan J Kirroshnie, yang sebelum ini bimbang tidak dapat mencapai impiannya kerana kesulitan kewangan, hari ini tergamam atas kemurahan hati yang ditunjukkan pembaca FMT selepas kisah sedihnya dilaporkan.

“Orang ramai tidak putus-putus memberi derma,” katanya.

Semalam FMT melaporkan Kirroshnie berdepan masalah untuk membayar yuran pengajian kerana kesulitan keluarga, namun pembaca setakat ini menyumbang lebih RM40,000 bagi membantunya menyudahkan pelajaran.

Kirroshnie yang jelas tergamam mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca FMT kerana membantunya mencapai impian untuk menjadi seorang doktor.

“Respons yang diterima menakjubkan,” kata Kirroshnie kepada FMT.

“Saya sangat menghargai usaha semua rakyat Malaysia yang memberi bantuan.”

“Melihat semuanya berlaku begitu pantas hingga sukar dipercayai. Ia seperti magis.”

Respons pantas itu juga menyebabkan bank Kirroshnie menyangka sesuatu yang tidak kena berlaku.

“Akaun saya dibekukan, ia tidak pernah berlaku kepada saya sebelum ini.

“Ramai yang menghubungi saya memberitahu mereka tidak dapat membuat pindahan wang.”

Dengan beban kewangan tidak lagi menjadi masalah kepadanya, Kirroshnie kini boleh memberi perhatian kepada baki pengajian dengan lebih baik.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu sehingga kini. Ia sangat bermakna kepada saya dan keluarga.”

Perbelanjaan Kirroshnie ketika memulakan pengajiannya pada 2017 ditampung oleh bapanya, seorang wakil perubatan syarikat farmaseutikal yang menghantar ubat dari klinik ke klinik, namun beliau tidak lagi bekerja setelah diserang strok pada tahun itu.

Ini menyebabkan bapanya terlantar sementara dan menjejaskan kemampuan fizikal dan mentalnya secara kekal.

Ibunya mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga dengan menjual buku di sekolah. Namun, pandemik Covid-19 dan sekatan pergerakan membantutkan usahanya.

Keluarga itu terpaksa bergantung pada elaun kecacatan bapanya sebanyak kira-kira RM1,000 sebulan, wang simpanan dan pinjaman.

Pada 2019, Kirroshnie digantung pengajian kerana ketinggalan bayaran yuran dan terpaksa menangguhkan pengajiannya selama tiga bulan sementara beliau mencari dana.

Beliau berjaya mengekalkan statusnya sebagai pelajar, tetapi ketinggalan membayar yuran pengajian sebanyak RM30,000 dan perlu membayar yuran pengajian untuk tahun ini sebanyak RM45,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.