472 ditahan ingkar PKP, termasuk rentas negeri, daerah tanpa kebenaran

472 ditahan ingkar PKP, termasuk rentas negeri, daerah tanpa kebenaran

Kesalahan tertinggi ialah tidak memakai pelitup muka, sebanyak 182 kes.

Seramai 32 orang ditahan semalam kerana merentas daerah atau negeri tanpa kebenaran polis.
PETALING JAYA:
Polis menahan 472 orang yang mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) semalam, termasuk kesalahan merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan berkata, 457 orang dikompaun dan 15 lagi direman.

Katanya, kesalahan tidak memakai pelitup muka tertinggi, iaitu 182 orang, diikuti kegagalan menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (85), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (66), gagal mematuhi penjarakan fizikal (65), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (32) dan lain-lain (42).

Ismail berkata, 65 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan empat kenderaan dirampas dalam 444 sekatan jalan di seluruh negara semalam.

Beliau berkata, seramai 105,603 individu yang pulang ke tanah air sejak 24 Julai 2020 hingga semalam menjalani kuarantin wajib di 83 hotel dan 17 institut latihan awam serta institusi pengajian tinggi swasta.

“Seramai 8,588 individu sedang menjalani kuarantin wajib, manakala 540 orang dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 96,475 individu telah dibenarkan pulang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.