Moratorium pinjaman perlu untuk kekal pekerjaan, kata majikan

Moratorium pinjaman perlu untuk kekal pekerjaan, kata majikan

Hampir semua sektor sedang berjuang dan masih belum pulih selepas dilanda kelembapan ekonomi tahun lalu kerana Covid-19.

Moratorium dan insentif untuk majikan perlu bagi mengelak perniagaan yang kini sedang bergelut daripada berdepan penutupan, muftis, atau berhentikan pekerja.
PETALING JAYA:
Satu lagi pinjaman moratorium dan insentif untuk majikan diperlukan bagi mengelak perniagaan yang kini sedang bergelut daripada berdepan penutupan, muflis dan terpaksa memberhentikan pekerja.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan, berkata hampir semua sektor sedang berjuang dan masih belum pulih selepas dilanda kelembapan ekonomi tahun lalu kerana Covid-19.

“Kami belum mengetahui kesan PKP 2.0. Pengangguran mungkin meningkat. Syarikat berusaha menjaga overhead rendah untuk mengelakkan pemberhentian pekerja,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, perniagaan kecil akan kembali menderita, dan memaklumkan tahun lalu 30,000 perniagaan berhenti beroperasi menyebabkan sehingga 100,000 orang hilang pekerjaan.

“Itu hanya sebilangan kecil kerana data pekerja tidak formal mungkin tidak diambil,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan harus meminta pandangan pengusaha industri sebelum melaksanakan PKP 2.0 kerana mereka tidak dibantu, terutama bagi sektor hotel dan peruncitan yang “dihimpit berulang kali”.

“Kami berharap kerajaan dapat mengkaji situasi dengan cepat untuk membantu majikan menjaga pekerjanya.”

Shamsuddin berkata, sektor swasta masih belum pasti mengenai kesan pusingan PKP tahun ini kerana perbelanjaan pengguna kembali lemah.

“Tahun 2020 sama sekali tidak membantu ekonomi, 2021 akan menjadi tahun yang mencabar. Disebabkan PKP 2.0, keadaan darurat di seluruh negara akan menghalang pelabur.

“Bursa saham kita mungkin mengalami kemunduran dengan pelabur asing menarik diri kerana mereka merasakan perisytiharan darurat tidak mendorong demokrasi, katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula 13 Jan mungkin dilaksanakan hingga empat minggu.

Dalam sidang media, Hisham berkata ini kerana kerajaan menyedari kesan PKP terhadap ekonomi, sambil menambah rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan jika semua orang duduk di rumah selama dua minggu akan datang.

Dari sudut lain pula, Shamsuddin berkata terdapat lebih banyak pekerjaan berkaitan ekonomi gig, termasuk perkhidmatan penghantaran menyaksikan peningkatan penghantaran ke rumah semasa PKP.

Namun, beliau berharap mereka akan mengambil insurans pekerjaan keselamatan sosial untuk melindungi diri daripada kecederaan.

Katanya, kerajaan harus peka dengan fakta bahawa dua kali ganda jumlah orang akan mencari pekerjaan tahun ini dengan setengah juta dari 2020 dan 500,000 lagi tahun ini.

Kerajaan mengatakan akan mewujudkan 500,000 pekerjaan tahun ini tetapi majoriti syarikat yang terjejas akibat PKP mungkin belum mengambil pekerja.

Shamsuddin berkata, bagi memastikan syarikat tidak menutup perniagaan, pinjaman moratorium perlu diperkenalkan semula supaya syarikat dan kakitangan yang diberhentikan tidak akan berhutang.

PKP 2.0 juga membawa cabaran lain. Shamsuddin berkata, pekerja syarikat yang berdaftar dengan perdagangan dan industri antarabangsa dibenarkan melalui sekatan jalan raya polis, tetapi mereka yang berdaftar bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) diminta berpatah balik.

“Kakitangan sukar untuk menjelaskan mengapa syarikat mereka berada bawah JPPM. Polis tidak menerima penjelasan mereka. Saya harap ini dapat diperjelas,” kata Shamsuddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.