Kembalikan kuasa rakyat, julang demokrasi, kata Najib

Kembalikan kuasa rakyat, julang demokrasi, kata Najib

Ahli Parlimen Pekan itu berkata demokrasi berparlimen dan kuasa yang ada pada rakyat perlu tetap dijulang.

Najib Razak berkata bapanya Abdul Razak Hussein pernah memberitahu jika tidak mengembalikan kuasa ke mana yang sepatutnya dan kepada rakyat melalui Parlimen, maka segala perjuangan adalah sia-sia. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak mengingatkan Putrajaya supaya mengembalikan kuasa Parlimen, mengambil kira pesanan bapanya Abdul Razak Hussein, perdana menteri ke-2 bahawa kuasa pentadbiran yang ada pada pemimpin bukan milik mereka.

Najib berkata, demokrasi berparlimen dan kuasa yang ada pada rakyat perlu tetap dijulang dan dihormati, serta mengingatkan fungsi kerajaan untuk menjadi pelindung dan membekalkan segala keperluan kepada rakyat.

“Di masa timbulnya kegagalan memelihara keperluan rakyat dan menyelesaikan keadaan yang semakin menghimpit rakyat, maka sudah tentu akan timbul persoalan dan perbezaan. Jadi wajar ia diperbetulkan.

“Fungsi besar kerajaan adalah menjadi pelindung kepada rakyat dan pembekal kepada keperluan rakyat. Dalam apa jua keadaan pun, kebajikan dan kesejahteraan rakyatlah segala-galanya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengisytiharkan darurat bertujuan membendung penularan wabak Covid-19 hingga 1 Ogos atau lebih awal, memandangkan kes harian kini mencecah empat angka.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, darurat itu bukan suatu bentuk rampasan kuasa, sebaliknya aktiviti ekonomi akan berjalan seperti biasa namun pertintah kawalan pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan lain dikuatkuasakan susulan kes Covid-19 semakin meningkat.

Najib berkata, pada 1971 Abdul Razak pernah memberitahu “Jika kita tidak mengembalikan kuasa ke mana yang sepatutnya dan kepada rakyat melalui Parlimen, maka segala perjuangan kita untuk kemerdekaan, perjuangan kita menentang komunisme, adalah sia-sia”.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan mengenai tindakannya sebelum ini, ketika memegang jawatan perdana menteri yang juga pernah mengisytiharkan darurat bencana jerebu pada 2013 di Muar dan Ledang, Johor.

“Mengapa? Tahap pencemaran udara di kedua-dua kawasan ini sudah mencecah satu paras yang ditakrifkan sebagai tahap kecemasan. Maka saya mengisytiharkan keadaan darurat bencana jerebu bagi seluruh daerah Muar dan Ledang pada masa itu,” katanya.

Katanya, tindakan ketika itu adalah bersifat perlu dan harus dilaksanakan, serta mendakwa tindakannya sebelum ini diterima dan difahami rakyat.

“Pada masa sama, saya juga menegaskan perisytiharan darurat bencana jerebu ini tidak mengubah corak dan sistem pemerintahan kerajaan negeri mahupun persekutuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.