
Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh Dr Suresh Kumar berkata, hospital itu melihat peningkatan dari 2.76% ke 15.49% bagi pesakit kategori 4 dan 5 yang memerlukan bantuan pernafasan.
Pesakit kategori 4 menunjukkan gejala dengan jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen, manakala kategori 5 adalah yang tertinggi membabitkan pesakit kritikal dengan pelbagai komplikasi organ.
“Kadar ICU kami semakin bertambah berbanding apa dilihat pada waktu normal,” katanya di webinar untuk mencari penyelesaian pandemik anjuran Edunity Foundation dan kumpulan bekas penjawat awam G25.
“Setiap minggu, kami perlu membuka wad baru dengan 28 katil untuk menampung pesakit yang diberi bantuan oksigen. Bermula dengan satu wad, kini kami mempunyai lapan wad.”
Suresh memberi jaminan, hospital itu tidak menolak mana-mana kes Covid-19, tetapi mengaku berlaku kelewatan merawat serta mengalihkan pesakit dalam tempoh dua minggu lalu disebabkan kekurangan tenaga kerja.
Walaupun Putrajaya mengarahkan majikan memastikan pusat kuarantin untuk pekerja asing, selain mula merawat pesakit kategori 1 dan 2 (yang simptomnya rendah atau tiada langsung), Suresh berkata langkah itu tidak cukup untuk meredakan beban dihadapi sistem kesihatan.
Katanya, Kementerian Kesihatan juga menghubungi hospital swasta dan pengamal perubatan umum untuk membincangkan bagaimana mereka dapat membantu dalam perang terhadap Covid-19.
Bagaimanpun, Dr Musa Mohd Nordin, pakar perunding pediatrik di KPJ Damansara Specialist memberi amaran terhadap tindakan memindahkan pesakit Covid-19 ke hospital swasta kerana kebanyakan doktornya berusia 60 tahun ke atas seterusnya dalam kumpulan berisiko tinggi.
Sebaliknya, beliau mencadangkan hospital swasta mengambil lebih banyak kes bukan Covid-19 bagi mengelak mendedahkan pakar perubatan yang lebih berusia kepada virus itu.
Selain itu, katanya, kerajaan sepatutnya beralih kepada ujian pantas antigen lebih awal, yang membolehkan hasil ujian diperoleh dalam tempoh sejam, bererti mereka yang disahkan positif boleh diasingkan lebih cepat bagi mengelak kluster baru.