Dakwa Twitter digodam: Terus-terang sajalah, pembantu Kit Siang beritahu SKMM

Dakwa Twitter digodam: Terus-terang sajalah, pembantu Kit Siang beritahu SKMM

Syahredzan Johan mempersoalkan jika benar suruhanjaya itu membeli akaun peribadi pengguna lain dan berapa bayaran yang terlibat.

Semalam, SKMM mendakwa akaun Twitter suruhanjaya itu digodam.
PETALING JAYA:
Seorang pembantu kepada veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berterus-terang mengenai akaun Twitter suruhanjaya itu selepas beberapa catatan lama berunsur lucah dan jelik dihantar semalam.

Syahredzan Johan, setiausaha politik Lim berkata, dakwaan SKMM akaun rasmi itu digodam tidak munasabah kerana ia dibuat beberapa tahun lalu, sambil menambah mustahil untuk “back-date” mana-mana catatan media sosial.

Beliau menyatakan, seorang pengguna media sosial lain, yang dikenali @NazruiHakim mendakwa, akaun SKMM itu asalnya miliknya yang kemudian dijual beberapa tahun lalu kepada seseorang semasa akaun tersebut mempunyai 50,000 pengikut.

“Dakwaan @NazruiHakim ini menimbulkan beberapa persoalan yang wajar dijawab. Adakah benar akaun @SKMM_MCMC itu diambil alih daripada akaun peribadi seperti yang didakwa? Sekiranya benar diambil alih, apa keperluan @SKMM_MCMC mengambil alih suatu akaun peribadi?

“Sekiranya ia diambil alih, adakah benar terdapat bayaran yang terlibat? Adakah bayaran dikatakan oleh @NazruiHakim dibuat oleh SKMM, dan berapa jumlah yang dibayar?

“Jika SKMM ada membuat bayaran, adakah ia melalui proses perolehan kerajaan yang betul dan telus?” soalnya dalam kenyataan.

Tegas Syahredzan, soalan itu perlu dijawab SKMM dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) kerana ia melibatkan badan berkanun yang mempunyai kuasa meluas dan mengawal selia industri komunikasi dan interaksi sosial orang awam dalam talian.

Semalam, media sosial kecoh selepas catatan lama dari akaun Twitter SKMM yang dipenuhi kenyataan jelik, muncul semula di platform itu.

Ia selepas SKMM menerusi catatan di Twitter menasihatkan orang ramai “menjaga kesopanan dan kesusilaan” apabila berinteraksi di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.