
Saman itu berhubung dakwaan polis gagal melaksanakan waran komital untuk menangkap Riduan dan memulangkan anak perempuan mereka berusia 13 tahun yang dilarikan lelaki itu 12 tahun lalu.
Permohonan interogatori itu difailkan Indira semalam, menerusi firma guaman Tetuan Raj & Sach bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya KPN selaku defendan pertama menjawab soalan berkenaan secara bertulis, melalui afidavit mengikut Aturan 26 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.
Dalam permohonan itu, Indira antara lain memohon KPN menjawab soalan berkaitan siasatan dijalankan, termasuk lokasi bekas suaminya, dahulu dikenali sebagai K Patmanathan yang didakwa berada di selatan Thailand.
Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Indira ketika dihubungi berkata, mahkamah menetapkan 14 Jan ini untuk pengurusan kes di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Idamasliza Maarof, menerusi sistem dalam talian.
Pada 28 Okt lalu, Indira, 46, selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan KPN, polis, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia selaku defendan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Indira mendakwa defendan pertama, iaitu KPN dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus daripada Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan Prasana kepadanya.
Wanita itu mendakwa semua defendan mempunyai peranan membuat keputusan atau memberi arahan kepada polis bagi melaksanakan waran komital terhadap Riduan seperti diperintahkan Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016.
Plaintif juga mendakwa kelakuan semua defendan secara langsung, menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjutan hingga hari ini dan Riduan berjaya melarikan diri.
Oleh itu, Indira antara lain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta faedah, selain memohon deklarasi yang defendan pertama melakukan “tort nonfeasance” di pejabat awam dan defendan kedua, ketiga dan keempat bertanggungjawab secara vikarius bagi “tort nonfeasance” yang dilakukan defendan pertama.