Ejen penghantaran direman 5 hari babit rasuah kartel daging

Ejen penghantaran direman 5 hari babit rasuah kartel daging

Lelaki berusia 55 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor malam tadi bagi membantu siasatan.

Ejen penghantaran daging sejuk beku tiba di Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk SPRM memohon perintah reman terhadapnya hari ini. (Gambar Bernama) 
JOHOR BAHRU:
Seorang ejen penghantaran daging sejuk beku direman lima hari kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah berhubung isu skandal kartel daging.

Perintah reman sehingga 16 Jan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Nur Fathiah Mohd Fedzir, yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Lelaki berusia 55 tahun yang direman itu diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Lelaki berkenaan ditahan di pejabat SPRM Johor malam tadi bagi membantu siasatan.

Tertuduh yang berbaju lokap SPRM jingga, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 8.45 pagi tadi dengan diiringi pegawai SPRM.

Semalam, Pengarah SPRM Johor, Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan lelaki itu pada 8 malam Isnin, namun enggan mengulas lanjut kerana kes itu masih dalam siasatan.

Pada 4 Jan lalu, empat individu termasuk dua pengarah syarikat pengimport daging sejuk beku turut direman kerana dipercayai terlibat dalam kes rasuah aktiviti penyeludupan bahan mentah itu.

Tiga hari kemudian, dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) ditahan SPRM Johor kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah berhubung aktiviti penyeludupan daging sejuk beku dari negara dilarang untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Pada 1 Dis lalu, pihak berkuasa menyerbu sebuah kilang di Senai dan membongkar kegiatan kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal, sebelum meletakkan logo halal palsu untuk membolehkannya dijual di pasaran tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.