Keputusan ikat jamin remaja dituduh bunuh bayi baru lahir Jumaat ini

Keputusan ikat jamin remaja dituduh bunuh bayi baru lahir Jumaat ini

Peguam berkata Santhiea Mahadevan perlu dibenarkan diikat jamin kerana dia memenuhi syarat di bawah Kanun Prosedur Jenayah.

Santhiea Mahadevan didakwa membunuh anaknya yang baru lahir dengan mencampaknya keluar dari pangsapuri di Bandar Air Itam, Pulau Pinang Julai lalu. (Gambar Reuters)
GEORGE TOWN:
Mahkamah akan memutuskan sama ada remaja yang didakwa mencampak bayi baru dilahirkannya dari pangsapurinya di sini Julai tahun lalu, dibenarkan diikat jamin pada Jumaat ini.

Hakim sebelum ini memerintahkan Santhiea Mahadevan, 18, yang didakwa membunuh, untuk kekal di penjara di Perlis, walaupun Mahkamah Rayuan membenarkan tertuduh diikat jamin.

Hakim Mahkamah Tinggi, Amirudin Abd Rahman, ketika mengkaji semula permohonan ikat jamin itu berkata, beliau memerlukan “beberapa hari untuk mempertimbangkan” perkara itu.

Mahkamah Rayuan sebelum ini membenarkan Santhiea diikat jamin RM30,000 atas alasan perubatan kerana mengalami komplikasi ketika bersalin, selepas dua mahkamah rendah menolak permohonan terdahulu.

Bagaimanapun, pada 17 Dis lalu, Hakim Jamaliah Abd Manap membatalkan ikat jamin itu, selepas kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Kes bunuh dibicarakan di Mahkamah Tinggi, tetapi tertuduh akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret terlebih dahulu.

Hari ini, peguam Santhiea, yang diketuai RSN Rayer, berhujah wanita itu perlu dibenarkan diikat jamin kerana dia memenuhi syarat di bawah Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Rayer memetik kes Samirah Muzaffar, yang turut didakwa membunuh, tetapi dibenarkan diikat jamin kerana dia ialah wanita.

Rayer berkata, ketika Mahkamah Rayuan membenarkan Santhiea diikat jamin, dia tidak melanggar syarat ditetapkan mahkamah terdahulu, oleh itu, ia harus dipertimbangkan untuk dilanjutkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Abdul Halim berkata, di bawah CPC, mereka yang dituduh dengan jenayah seperti pembunuhan hanya dibenarkan diikat jamin di bawah keadaan “luar biasa”.

Katanya, Santhiea akan terus menerima rawatan diperlukan semasa dalam tahanan.

Bagaimanapun, Rayer berkata, CPC jelas menyatakan wanita yang didakwa dengan pembunuhan atau kesalahan lain yang tidak boleh diikat jamin masih boleh dibenarkan diikat jamin.

Santhiea didakwa menyebabkan kematian anaknya yang baru lahir di Pangsapuri Sri Ivory di Bandar Baru Air Itam pada 8.25 pagi 10 Julai tahun lalu. Kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Selepas ditahan, dia direman di Hospital Pulau Pinang untuk rawatan berkaitan kecederaan semasa bersalin. Dia dipindahkan ke Pusat Koreksional Perlis pada 17 Dis lalu dan ditahan di sana sejak itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.