Pemimpin Sarawak selar Dr M berpolitik semasa Covid-19

Pemimpin Sarawak selar Dr M berpolitik semasa Covid-19

James Masing dari PRS dan Michael Tiang dari SUPP berkata, keutamaan kini ialah mengekang pandemic.

James Masing berkata, rakyat mesti berdiri di belakang Muhyiddin Yassin bagi mengekang pandemik Covid-19.
KUCHING:
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dikecam oleh dua pemimpin Sarawak kerana menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan di tengah-tengah usaha kerajaan mengekang pandemik Covid-19.

Presiden PRS James Masing berkata, semua Ahli Parlimen sepatutnya mengetepikan perbezaan politik dan berganding bahu mengekang penyebaran virus itu, bukannya menggugat kestabilan kerajaan.

“Sebagai bekas perdana menteri, sangat memalukan (Mahathir) meminta Muhyiddin meletak jawatan ketika negara berusaha untuk mengekang virus,” kata Masing merujuk kepada kenyataan Mahathir pada Khamis yang berkata,”nasihat sudah bagi, yang payah nasihat tak nak dengar. Itu jadi masalah. Kamu tak nampak kukuh, ‘resign’ (letak jawatan) lah.”

Muhyiddin menerima tekanan daripada pemimpin Umno yang mengancam untuk menarik sokongan terhadap kerajaan beliau.

Masing, yang juga timbalan ketua menteri, berkata, walaupun tidak semua keputusan dan usaha perdana menteri berfaedah kepada gabungan kerajaan di Sarawak, namun “sebagai rakyat Malaysia yang setia, kami terus berdiri di belakangnya bagi mengekang pandemik itu”.

Ketua Pemuda SUPP Michael Tiang berkata, beberapa ahli politik kanan di Semenanjung Malaysia tidak bertanggungjawab berhubung kenyataan mereka dengan mengabaikan perang melawan pandemik itu.

Sebaliknya ia terus menumpukan perhatian kepada perbalahan politik antara satu sama lain.

“Tidakkah Mahathir, sebagai bekas perdana menteri dua kali, sedar bahawa keutamaan Muhyiddin sekarang ialah memastikan negara berjaya berdepan dengan pandemic itu dan tiada yang lebih penting daripada tanggungjawab ini dalam kerajaan?” katanya.

“Perdana menteri mempunyai misi penting untuk dicapai, bukannya meletak jawatan hanya kerana beberapa masalah politik,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.