Apa saja berlaku di Semenanjung, GRS kekal utuh, kata Hajiji

Apa saja berlaku di Semenanjung, GRS kekal utuh, kata Hajiji

Pengerusi PPBM Sabah Hajiji Noor berkata GRS perlu menentukan sendiri hala tuju politiknya berdasarkan mandat yang diberi oleh rakyat Sabah.

Ketua Menteri Hajiji Noor (duduk dua dari kanan) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengekalkan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Bersama beliau adalah Timbalan Ketua Menteri dan Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin (duduk dua dari kiri) dan pemimpin lain.
KOTA KINABALU:
Parti politik yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengekalkan kerjasama selain menolak campur tangan luar yang cuba menggugat gabungan itu.

MoU tersebut ditandatangani Pengerusi PPBM Sabah Hajiji Noor, Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Bung Moktar Radin, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Teck Lee, Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Ellron Alfred Angin, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Radin Malleh, Setiausaha PAS Sabah Aliakbar Gulasan, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup, Pengerusi MIC Sabah, Peer Muhamad dan Pengerusi MCA Sabah, Lu Yen Tung.

Hajiji yang juga ketua menteri Sabah berkata, MoU itu yang merupakan memorandum pertama seumpama dimeterai di bawah GRS, penting bagi mengukuhkan ikatan politik melalui musyawarah dan perundingan berasaskan persefahaman antara parti.

“Berpaksikan kepada mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada GRS pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke-16, semua parti yang ada dalam gabungan ini bersetuju untuk memastikan mandat rakyat ini dihormati dan perlu diteruskan bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

“Kerjasama antara parti komponen GRS sememangnya kukuh sejak PRN Sabah ke-16 lagi tetapi dengan memorandum ini kerjasama ini dapat kita kukuhkan lagi bagi memenuhi mandat yang diberi rakyat,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU itu.

Hajiji berkata, di sebalik perkembangan politik di Semenanjung, GRS perlu menentukan sendiri hala tuju politiknya berdasarkan mandat yang diberi oleh rakyat Sabah.

“Tidak timbul isu kita terpengaruh, apa sahaja berlaku di Semenanjung kita GRS kekal utuh,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar berkata BN Sabah tetap dengan ketetapannya sebelum ini, iaitu mempertahankan kerajaan negeri GRS demi kepentingan rakyat di Sabah.

“BN dan Umno sepakat dengan kerajaan sedia ada. Apa yang penting bagi kita sekarang ialah membangunkan negeri Sabah untuk rakyat,” kata Bung yang juga Pengerusi Umno Sabah.

Pada majlis itu, Hajiji turut mengumumkan senarai jawatankuasa GRS, iaitu;

  • Pengerusi: Hajiji Noor
  • Timbalan Pengerusi I: Bung Moktar Radin
  • Timbalan Pengerusi II: Maximus Johnity Ongkili
  • Timbalan Pengerusi III: Jeffrey Kitingan
  • Setiausaha: Mohd Razali Razi
  • Penolong Setiausaha: Ardino Diris
  • Bendahari: Salleh Said Keruak
  • Ketua Penerangan: Joniston Bangkuai

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.