Myanmar tahan hampir 100 Rohingya akan diseludup ke Malaysia

Myanmar tahan hampir 100 Rohingya akan diseludup ke Malaysia

Seramai 99 etnik Rohingya dari bandar Maungdaw, Buthidaung, Sittwe, dan Kyauktaw di Rakhine itu akan ke Malaysia untuk bekerja.

Seramai 73 daripada 99 etnik Rohingya yang ditahan polis Yangon itu ialah wanita yang ditemani sejumlah kanak-kanak lima hingga 10 tahun. (Gambar AP)
YANGON:
Hampir 100 etnik Rohingya yang diseludup sindiket pemerdagangan dari negeri Rakhine di Myanmar dan akan ke Malaysia, ditahan dalam satu serbuan di Yangon, kata polis pada Khamis.

Operasi penyeludupan terbaru itu dibongkar polis Yangon pada Rabu, yang menyerbu dua rumah di bandar Shwepyitha dan menemui 99 etnik Rohingya.

“Mereka datang dari bandar Maungdaw, Buthidaung, Sittwe dan Kyauktaw (di negeri Rakhine) akan ke Malaysia untuk bekerja,” kata Tin Maung Lwin, timbalan superintendan polis di bandar itu kepada AFP.

Gambar yang disiarkan media tempatan menunjukkan etnik Rohingya berkaki ayam dan memakai pelitup muka, di depan sebuah rumah bertingkat, lokasi mereka dilaporkan bersembunyi selama berbulan-bulan.

Seramai 73 daripadanya ialah wanita yang ditemani sejumlah kanak-kanak berusia lima hingga 10 tahun.

Kyaw Soe Aung daripada Rangkaian Kerjasama Bandar Arakan, sebuah kumpulan bantuan Rohingya, berkata mereka kini dikuarantin di sebuah universiti tempatan selepas menjalani ujian saringan Covid-19.

“Kami dengar mereka tidak makan selama tiga hari, jadi kami hantar makanan dan pakaian kepada mereka semalam.”

Polis berkata, pihak berkuasa dimaklumkan mengenai seorang “lelaki mencurigakan” yang tidak fasih berbahasa Burma.

Mereka mengekori lelaki itu ke sebuah rumah dan menemui etnik Rohingya lain. Tiada penyeludup yang dilaporkan ditahan.

“Kami akan terus menyiasat individu yang mereka mereka ke sini,” kata Maung Lwin yang tidak dapat mengesahkan jika Rohingya ditahan itu akan dihantar pulang ke Rakhine.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.