Tak kompromi soal ketelusan

Tak kompromi soal ketelusan

PAC hormati perjanjian antara pengeluar vaksin, kerajaan namun tidak akan kompromi soal ketelusan

PETALING JAYA:
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menegaskan “Non Disclosure Agreeement” (NDA) antara kerajaan dan pengeluar vaksin COVID-19 tidak akan mempengaruhi prosidingnya mengenai isu perolehan dan penggunaan vaksin.

Pengerusinya, Wong Kah Who berkata jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat khas bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum laporan PAC dibentangkan di Dewan Rakyat, dalam memastikan segala syarat perjanjian berkenaan dipatuhi.

Dalam pada itu, beliau berkata secara amnya, NDA tidak sewajarnya mengekang tugas dan peranan PAC.

“Bagaimanapun, dalam perkara ini, PAC akan mengimbangi antara peranan dalam melaksanakan penelitian legislatif dengan peruntukan NDA dalam perjanjian komersial sedia ada, untuk memastikan tidak berlakunya sebarang pelanggaran perjanjian.

“PAC menegaskan tidak akan berkompromi dengan prinsip ketelusan dalam menjalankan tugasan, dan pada masa sama akan menjaga kepentingan negara sementara menghormati perjanjian yang telah dimeterai,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, beliau berkata jawatankuasa itu mengadakan prosiding perolehan vaksin COVID-19 dan penggunaannya terhadap rakyat Malaysia membabitkan dua kementerian berkenaan.

Menteri MOSTI, Khairy Jamalusddin dan Menteri Kesihatan, Adham Baba hadir ke pejabat PAC di Parlimen bagi memberi keterangan dan penjelasan berhubung isu perolehan dan penggunaan vaksin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.