
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata kerajaan baru-baru ini meluluskan pembelian 55 peti sejuk bersuhu ultra-rendah, bernilai antara RM70,000 hingga RM80,000 setiap satu.
“Pfizer memenuhi keperluan vaksinasi, tetapi penyimpanan adalah tanggungjawab kita. Ada pihak yang membayangkan ia akan membabitkan kos sehingga RM1 bilion sebaliknya hanya RM16.6 juta,” katanya selepas menghadiri taklimat tiga jam bersama Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen.
Peti sejuk beku itu akan ditempatkan di 55 kawasan bandar mengikut keperluan khusus penyimpanan vaksin itu.
Khairy berkata, harga vaksin keluaran Pfizer adalah termasuk kos penghantaran, namun tidak bagi vaksin keluaran AstraZeneca.
Maklumat lanjut berhubung perkembangan itu akan disertakan dalam laporan PAC memandangkan Putrajaya perlu mematuhi perjanjian kerahsiaan yang dipersetujui antara kedua syarikat, katanya.
Beliau berkata, sejumlah RM2.05 bilion diperuntukkan bagi pemerolehan semua vaksin, termasuk vaksin Sinovac dan CanSino keluaran China serta Gamaleya (Rusia) yang masih dalam perbincangan.
Katanya, pelan pemvaksinan kebangsaan itu akan dimuktamadkan pada Khamis sebelum ia dibentangkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin dan Kabinet Rabu depan.
Katanya, ia termasuk pelan terperinci penerima vaksin mengikut keutamaan, selepas masyarakat umum secara sukarela sedia menerima imunisasi itu.
“Mereka yang berminat perlu mendaftar di aplikasi MySejahtera, mengatakan yang anda setuju dan mahu mendaftar untuk vaksin berkenaan,” katanya.
Sementara itu, jawatankuasa jaminan akses bekalan vaksin COVID-19 akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Luar, dalam negeri dan sumber manusia beberapa minggu lagi bagi membincangkan isu pemberian vaksin kepada warga asing di negara ini.
“Lebih ramai yang mendapat vaksin, kita lebih selamat. Jika warga asing tidak diberi vaksin, masih ada tiga juta lagi yang berisiko (kepada jangkitan) dan kita mungkin tidak akan mencapai ambang imuniti kelompok,” kata Khairy, sambil menambah kerajaan berusaha menyasarkan seramai individu yang mungkin.