
Zaliza Ali bersama seorang anak perempuan, dua anak lelaki serta seorang anak saudara perempuannya, mengambil keputusan tidur dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza miliknya, selepas gagal mendapat tempat di pusat pemindahan.
Beliau berkata, mereka pada mulanya ke pusat pemindahan di Taman Daiman kira-kira 15km dari rumahnya, namun pusat pemindahan itu sudah penuh dengan mangsa banjir dari pelbagai lokasi berdekatan.
Akibat keletihan kerana terpaksa berpatah balik ke Taman Kota Jaya, suri rumah berusia 40-an itu kemudian nekad tidur dalam kereta dan memilih untuk bermalam di stesen minyak.
“Saya difahamkan setiap pusat pemindahan hanya boleh menampung beberapa keluarga kerana ada SOP (prosedur operasi standard) COVID-19. Selepas diberitahu pusat pemindahan di Taman Daiman penuh, saya berpatah balik ke Taman Kota Jaya.
“Memang tak selesa (tidur dalam kereta) sebab bila buka tingkap ada nyamuk, bila tutup tingkap, panas pula. Alhamdulillah, keluarga saya selamat dan boleh pindah ke pusat pemindahan di Taman Kota Jaya semalam,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat pemindahan itu.
Zaliza berkata, tidur dalam kereta ketika banjir adalah pengalaman pertama mereka sekeluarga, apatah lagi suaminya kini berada di luar daerah atas urusan kerja.
“Pengalaman ini juga dapat mendidik anak-anak saya untuk menjadi lebih berdikari jika ditimpa kesusahan pada masa akan datang. Keputusan untuk kami berpindah ke pusat pemindahan atas sebab mahu menjaga keselamatan,” katanya.