Guan Eng gesa SPRM siasat pembatalan HSR

Guan Eng gesa SPRM siasat pembatalan HSR

Setiausaha agung DAP itu berkata SPRM perlu menyiasat sebab kerajaan enggan mematuhi proses tender antarabangsa.

Lim Guan Eng berkata siasatan ke atas pembatalan HSR dapat mengurangkan kebimbangan rakyat yang SPRM dijadikan alat politik kerajaan PN.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan siasatan ke atas pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), khasnya selepas pendedahan terbaru oleh Singapura.

Menurut Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung, punca utama perjanjian itu gagal adalah cadangan Malaysia menyingkirkan syarikat aset ditender bersama (AssetsCo) yang menurutnya “menyimpang” daripada perjanjian asal yang dimeterai pada 2016.

Ahli Parlimen Bagan itu menerusi kenyataan berkata, SPRM perlu menyiasat sebab kerajaan enggan mematuhi proses tender antarabangsa, yang dikatakan Ong dapat menjamin akauntabiliti kedua-dua negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed hari ini berkata, model asal HSR yang memerlukan tender dilakukan bersama Singapura, terlalu mahal.

“Mustapa tidak mengatakan Malaysia akan menggunakan model baru yang masih mematuhi protokol tender antarabangsa,” kata bekas menteri kewangan itu dalam kenyataan.

“Mustapa menyebut kaedah yang dipersetujui kerajaan BN pada 2016 akan meningkatkan kos dan PN telah mencadangkan model baru yang akan membantu mengurangkan kos. Tidak ada penjelasan bagaimana kos dapat dikurangkan.

“Mustapa tidak jujur dan bercanggah dengan dirinya apabila beliau nampaknya lupa beliau juga menteri Kabinet dalam kerajaan BN pada 2016. Mengapakah anggaran kos HSR sekurang-kurangnya RM80 bilion, tidak termasuk pembayaran faedah puluhan bilion ringgit tambahan, dikatakannya mahal sekarang, tetapi tidak dahulu?” soalnya.

Oleh itu, Lim berkata, siasatan ke atas pembatalan HSR dapat mengurangkan kebimbangan rakyat yang SPRM dijadikan alat politik kerajaan PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.