Ketua UMNO Kelantan sedia letak jawatan pengerusi MPOB jika kerajaan gagal bubar Parlimen

Ketua UMNO Kelantan sedia letak jawatan pengerusi MPOB jika kerajaan gagal bubar Parlimen

Ia juga bagi menzahirkan pendirian tidak mahu berkerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional.

Pengerusi UMNO Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakob, beri tempoh sehingga hujung bulan ini untuk kerajaan membubarkan Parlimen. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pengerusi UMNO Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakob, ‘mengancam’ untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak meminta perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang memberi tempoh sehingga hujung bulan ini bagi kerajaan membubarkan Parlimen.

Beliau juga mahu menzahirkan pendirian tidak bersedia berkerjasama dengan kerajaan PN.

“Sudah pasti saya ada maruah, saya ada prinsip. Saya tidak mahu hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

“Kalau saya tarik diri saya akan sertakan sekali (surat) peletakan jawatan. Saya tidak pentingkan jawatan, saya pentingkan maruah,” katanya lapor Astro Awani.

Katanya, jawatan pengerusi MPOB adalah “kuota” bagi Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN

Namun sekiranya UMNO membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan kerajaan PN, maka jawatan itu perlu dikembalikan, katanya.

Jazlan dilantik sebagai pengerusi MPOB pada 8 Apr tahun lepas bagi menggantikan Mohd Bakke Salleh yang berkhidmat sehingga 31 Mac 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.