Operasi cari nelayan hilang di Terengganu diperluas

Operasi cari nelayan hilang di Terengganu diperluas

Anggota penyelamat gagal menemui sebarang petunjuk dalam usaha mencari Asaari Leh.

Pasukan SAR berdepan kesukaran dalam usaha mencari Asaari Leh kerana keadaan laut masih bergelora dan berombak tinggi. (Gambar Facebook)
BESUT:
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki karam di perairan Pulau Perhentian, Terengganu pada Khamis lalu kini diperluaskan sehingga kira-kira enam batu nautika dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Besut, Abdul Rozak Muhamad berkata, meskipun anggota penyelamat gagal menemui sebarang petunjuk dalam usaha mencari Asaari Leh, 46, operasi SAR tetap diteruskan.

“Pasukan SAR juga berdepan kesukaran kerana keadaan laut masih bergelora dan berombak tinggi. SAR diteruskan melibatkan aset milik APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut,” katanya di IPD Besut.

Beliau berkata, operasi SAR turut membabitkan penggunaan sebuah helikopter milik APMM.

Dalam perkembangan lain, Rozak berkata, pihaknya menahan seorang lelaki dipercayai tokan dadah kerana disyaki menyimpan dan memiliki selaras senapang angin buatan sendiri di Kampung Pak Wong dekat Jertih pada 10.30 pagi Khamis lepas.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki berusia 49 tahun yang memiliki kemahiran mengimpal besi itu membuat sendiri senapang berkenaan yang dipercayai untuk melindungi keselamatan dirinya.

“Turut dirampas ialah 13 butir bebola besi yang dijadikan peluru senapang tersebut, selain satu botol lut sinar dipercayai mengandungi dadah jenis heroin seberat 3.35g yang bernillai RM650.

“Operasi tersebut pada awalnya untuk memberkas suspek yang dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah, namun sebaik serbuan dilakukan di rumah suspek, turut ditemui senapang angin di belakang pintu utama rumahnya.”

Beliau berkata, saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah dan kini direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39(A)1 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.