
Vidyananthan berkata Mersing dan Pontian menjadi daerah terbaharu terjejas banjir menyusuli Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Batu Pahat.
Beliau berkata sebanyak 28 lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka menjadikan keseluruhan 56 PPS beroperasi setakat pagi ini iaitu dua di Mersing, Pontian (satu), Kluang (19), Kota Tinggi (14), Johor Bahru (13), Kulai (lima) dan dua di Batu Pahat.
“Di Mersing, seramai 57 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu dan SK Air Papan, pagi tadi. PPS SK Tenglu menempatkan 16 mangsa daripada empat keluarga dari Kampung Tenglu, manakala 41 mangsa daripada 10 keluarga dari Kampung Air Papan ditempatkan di PPS SK Air Papan.
“Sementara di Pontian, enam mangsa dari satu keluarga dari Kampung Ulu Pulai ditempatkan di PPS Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai yang dibuka pukul 10 malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vidyananthan berkata setakat ini lima PPS sedia ada merekodkan peningkatan jumlah mangsa dengan Kluang seramai 1,826 mangsa, Kota Tinggi (868), Johor Bahru (2,452), Kulai (581) dan Batu Pahat (28).
Katanya, laluan FT003 (Jalan Johor Bahru-Kota Mersing) kini ditutup kepada semua kenderaan berikutan ditenggelami air dengan kedalaman 0.2 meter.
Seorang warga emas disahkan menjadi korban pertama banjir berkenaan, selepas ditemui lepas akibat terjatuh ke longkang sedalam dua meter di Jalan Setia, Kampung Contoh, dekat Kluang.

Mangsa dikenali sebagai Halijah Majid, 59, dikatakan terjatuh ke longkang dipenuhi air kira-kira 12.30 tengah hari semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Shamsul Amri Mohd Shahab berkata, sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.
Terdahulu, Vidyananthan memaklumkan lima daerah di Johor terkesan akibat banjir adalah di Batu Pahat menyusuli Johor Bahru, Kulai, Kluang dan Kota Tinggi.
Sejak semalam, 14 lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, menjadikan keseluruhan 28 PPS beroperasi setakat 8 malam, iaitu 12 di Kluang, Kota Tinggi (7), Johor Bahru (6), Kulai (2) dan satu di Batu Pahat.