Pakar ekonomi setuju firma hartanah sertai industri sarung tangan

Pakar ekonomi setuju firma hartanah sertai industri sarung tangan

Pada Okt, firma pemaju hartanah Mah Sing mengumumkan akan menyertai sektor pembuatan sarung tangan getah dan produk kesihatan berkaitan.

Pakar ekonomi berkata, penyertaan firma hartanah dalam industri sarung getah yang pesat berkembang bakal menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.
PETALING JAYA:
Pakar ekonomi mengalu-alukan trend penyertaan pemaju hartanah dalam industri produk getah berkembang pesat susulan pandemik COVID-19.

Pada Okt, firma pemaju hartanah Mah Sing mengumumkan bahawa ia akan terlibat dalam sektor pembuatan dan perdagangan sarung tangan dan produk kesihatan berkaitan untuk mengambil kesempatan ke atas prospek jangka panjang industri sarung tangan yang memberangsangkan susulan peningkatan permintaan yang dicetuskan oleh pandemik tersebut.

Pada Dis pula, kumpulan hartanah dan pembinaan, Jiankun International Bhd, membuat keputusan untuk melibatkan diri dalam industri pengeluaran lateks nitril.

Pensyarah kanan ekonomi di Universiti Malaya Goh Lim Thye berkata, trend itu harus dialu-alukan kerana ia menunjukkan industri pembuatan sarung tangan merupakan pasaran persaingan bebas tanpa sekatan keluar dan masuk.

Goh Lim Thye.

Beliau berkata, ini akan meningkatkan persaingan dalam kalangan syarikat pengeluar sarung tangan dan akan menggalakkan ciptaan produk berasaskan getah yang baru atau lebih baik.

“Saya tidak fikir kita perlu wujudkan peraturan untuk menyekat mana-mana firma daripada memasuki bidang perniagaan lain kerana ia bercanggah dengan Akta Persaingan 2010.

“Satu sebab Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) ditubuhkan pada 1 Apr 2011 ialah untuk menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 yang bertujuan melindungi proses persaingan bebas dan adil dalam pasaran komersial untuk manfaat pengguna, kecekapan syarikat dan pembangunan ekonomi,” katanya kepada FMT.

Profesor ekonomi di Universiti Sunway Yeah Kim Leng bersetuju dengan berkata, campur tangan kerajaan bukan hanya akan menakutkan pelabur, tetapi juga menyebabkan berlakunya salah peruntukan sumber atau gangguan pasaran.

“Biarkan pasaran membuat keputusan. Pemain harus bebas walaupun mereka menyertai industri baru tanpa memiliki kepakaran atau teknologi yang diperlukan.

Yeah Kim Leng.

“Ia bagaimanapun boleh diperolehi dengan modal. Selagi mereka mempunyai kemampuan kewangan dan persetujuan pemegang saham, maka keputusan berhubung risiko-pulangan pelaburan adalah terserah kepada mereka,” katanya.

Yeah berkata, trend ini juga boleh menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

“Sebagai pengeluar di peringkat dunia, syarikat sarung getah Malaysia banyak menyumbang kepada output industri negara, eksport, pendapatan tukaran wang asing, peluang pekerjaan dan pertumbuhan pendapatan.

“Pelaburan tambahan dan pengembangan kapasiti dalam industri ini akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi,” katanya.

Goh berkata, trend itu juga akan membantu mewujudkan peluang pekerjaan.

“Dengan kadar pengangguran di Malaysia sebanyak 4.6% pada Sept 2020, penyertaan syarikat dalam pasaran yang pesat berkembang akan mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi kesan pembetulan ke atas kadar pengangguran.

“Selain itu, pendapatan tambahan yang dihasilkan akan memperkukuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Beliau bagaimanapun memberi amaran berhubung penepuan pasaran sarung tangan dengan berkata, ia akan mengehadkan keuntungan dan potensi pertumbuhan.

Dalam pada itu, Yeah mencadangkan supaya pelaburan atau penyertaan baru dalam industri sarung tangan ditumpukan kepada pengeluaran berteknologi tinggi yang menggunakan automasi, robotik dan teknologi digital bagi menambah baik produktiviti dan mengurangkan keperluan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.