
Menteri Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, meskipun ia bukan perkara mengejutkan, namun KPKK tidak bersetuju dengan tindakan AS tidak memberi peluang kepada Sime Darby Plantation Berhad (SDP) membuktikan dakwaan itu mungkin tidak berasas.
“KPPK mengakui pernah berlaku isu buruh paksa dan kanak-kanak di sektor perladangan sawit negara, namun kes terbabit amat terpencil berdasarkan kajian pada 2018.
“Hasil kajian ini juga dipanjangkan kepada Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada awal bulan lepas. Berdasarkan kajian tersebut, kerajaan sentiasa memberi peringatan kepada pihak industri supaya lebih bertanggungjawab dan tidak terlibat dalam isu yang boleh menjejaskan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) berhak mengeluarkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) ke atas eksport minyak sawit oleh mana-mana pihak ke negara berkenaan.
Justeru, katanya, KPPK komited tindakan tegas dan sewajarnya akan diambil ke atas mana-mana syarikat terlibat dalam isu buruh paksa, jika tuduhan AS itu benar.
Semalam, CBP menyekat pengimportan minyak sawit dan semua produk sawit yang dikeluarkan SDP, susulan siasatan badan itu yang mendakwa berlaku amalan buruh paksa di syarikat tersebut.
Sebelum ini, tindakan sama diambil ke atas FGV Holdings Bhd atas dakwaan sama, tetapi disangkal syarikat berkenaan.
Tindakan itu bagaimanapun tidak memberi kesan besar terhadap prestasi kewangan dan operasi syarikat itu, malah Washington mempertimbangkan petisyen untuk membatalkan WRO ke atas FGV.
Oleh itu, KPPK yakin SDP juga akan membantah dan menolak dakwaan tidak berasas itu.