Singapura teliti dakwaan penyelewengan import, pembungkusan daging halal

Singapura teliti dakwaan penyelewengan import, pembungkusan daging halal

Majlis Ugama Islam Singapura sudah memohon lebih banyak maklumat mengenai perkara itu dari pihak berkuasa yang berkaitan di Malaysia.

(Gambar Bernama)
SINGAPURA:
Pihak berkuasa Singapura sedang meneliti tuduhan yang ditimbulkan masyarakat, yang antara lain mendakwa kejadian penyelewengan proses mengimport dan pembungkusan daging halal di Malaysia juga mungkin berlaku di republik itu.

Dalam laman Facebook rasminya, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menyatakan pihaknya dan Agensi Makanan Singapura (SFA) akan mengenal pasti sama ada dakwaan penyelewengan jualan daging berstatus halal di Malaysia itu turut mempengaruhi pasaran Singapura.

Menurut Muis, pihaknya memohon lebih banyak maklumat mengenai perkara itu dari pihak berkuasa yang berkaitan di Malaysia.

Selain dakwaan penyelewengan itu, terdapat juga hantaran pesanan yang beredar di media sosial menyatakan kebimbangan masyarakat yang daging beku dari Malaysia itu juga diimport ke Singapura, kata Muis.

“Anda mungkin menyedari laporan media di Malaysia baru-baru ini mengenai sindiket kartel daging berpangkalan di negara itu yang menyeludup, membungkus dan melabel semula daging beku yang tidak halal dan kemudiannya dijual sebagai daging ‘diperakui halal’.

“Muis faham bahawa pihak berkuasa Malaysia mengeluarkan kenyataan yang mereka sedang menyiasat mengenai perkara itu, dan mendesak masyarakat di Singapura agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai hasil siasatan atau menyebarkan khabar angin,” kata agensi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.