Legenda bola sepak P Pinang ‘kembali’ di Stadium Bandaraya dalam mural

Legenda bola sepak P Pinang ‘kembali’ di Stadium Bandaraya dalam mural

Hasil lukisan mural yang mendedikasikan wajah pemain bola sepak kebangsaan itu merupakan sentuhan pelukis mural tempatan, Mohd Azmi Mohd Hussin.

Lukisan mural hasil sentuhan seorang pelukis mural tempatan mendedikasikan barisan pemain bola sepak terkenal, dicanting pada dinding Stadium Bandaraya di Pulau Pinang.
GEORGE TOWN:
Dari satu sudut, anda boleh lihat Ali Bakar sedang tersenyum kepada anda. Dari arah yang lain pula, wajah Namat Abdullah sedang mengerutkan dahi berserta kumis tebalnya. Figura Shukor Salleh juga melengkapkan barisan pemain bola sepak negara itu.

Legenda bola sepak dari Pulau Pinang itu kini ‘kembali’ di Stadium Bandaraya, namun kali ini diabadikan dalam bentuk satu siri lukisan mural.

Lukisan mural itu memberi penghormatan kepada pemain bola sepak terkenal Pulau Pinang yang diukir pada dinding stadium dan mereka semua menjadi kebanggaan penduduk tempatan.

Pelukis mural berbakat, Mohd Azmi Mohd Hussin, 36, dari Kampung Benggali, Butterworth.

Ramai yang sempat singgah di situ, mengamati sendiri dedikasi mural itu, sambil mengimbau semula saat-saat Sorakan Keramat dilaungkan atas kejayaan pemain legenda kebanggaan negeri dan negara ini.

Wajah enam pemain terkenal – Ali, Namat, M Kuppan, Shukor Salleh, pemenang anugerah FIFA Puskas, Faiz Subri, dan Pang Siang Hock – diukir pada dinding stadium dekat Jalan Perak.

Karya itu hasil sentuhan seorang pelukis mural berbakat besar, Mohd Azmi Mohd Hussin yang tekun menyiapkan lukisan itu sejak Isnin lalu. Azmi, yang ditugaskan dewan bandaraya untuk menghasilkan lukisan berkenaan, dijangka siap kerja itu pada Jumaat ini.

Mohd Azmi Mohd Hussin, 36, tekun menyiapkan lukisan muralnya yang menampilkan pemain bola sepak Allahyarham Namat Abdullah.

Mula melukis mural sejak 2010, polis bantuan itu berkata sudah tiba masanya barisan pemain hebat itu diberi pengiktirafan supaya anak muda generasi kini boleh kenal mereka.

“Ketika mendiang Diego Maradona meninggal dunia, saya perasan bandar-bandar di Eropah dan Argentina ada mengabadikannya dalam bentuk lukisan mural.

“Lepas itu, saya tanya dewan bandaraya, kenapa tidak lukis wajah pemain bola sepak kita sendiri pada dinding stadium kita, memandangkan nampak kosong. Mereka bersetuju, dan (sebab itu) saya dekat sini,” katanya.

Ketika dia mengukir potret Allahyarham Namat Abdullah, yang menghembuskan nafas terakhir baru-baru ini akibat kanser, banyak warga emas yang masih mengingati beliau singgah di situ semata-mata mahu mengucapkan terima kasih kepada Azmi untuk lukisan itu.

Seorang daripada mereka adalah pesara penjawat awam, Ali Akbar Latiff, 65, yang masih ingat akan menonton semua perlawanan disertai pemain hebat itu.

Orang yang lalu lalang mengagumi karya Azmi di Stadium Persiaran di Jalan Perak.

Katanya, mural itu seolah-olah menyambut mereka yang lalu di kawasan itu sebagai hiasan untuk mengisi kekosongan dinding stadium dan sebagai peringatan akan zaman kegemilangan Pulau Pinang sebagai kuasa besar dalam arena bola sepak tanah air.

Azmi menghabiskan dua jam untuk setiap mural dan setakat artikel ini ditulis, dia selesai melukis empat mural selain berharap dapat menyelesaikan semuanya pada Jumaat. Azmi terkenal dengan kepantasannya dalam melukis karikatur menggunakan medium yang berbeza.

Antara pencapaian anak jati Butterworth itu adalah dinobatkan dalam Malaysia Book of Records untuk karikatur paling banyak dilukis dalam tempoh 24 jam pada 2017, dengan lukisan lebih 250 potret ketika itu. Kemudian, menerusi rekod sama, Azmi berjaya menghasilkan lukisan sepanjang 101 meter menggunakan biji kopi tahun lalu.

Kartunis terkenal Mohammad Nor Mohammad Khalid atau “Lat” menjadi inspirasi buat Azmi. Azmi bangga kerana Lat ada melancarkan buku pertamanya, “Tanjong Life”. Dia juga menerbitkan dua buku tulisannya, berjudul: “The Little Mamak” dan “Lost in Bagan”.

“Saya mahu lukis bintang filem legenda seperti P Ramlee, Saloma Ismail dan Noordin Ahmad di rumah kelahiran P Ramlee di Caunter Hall Road, jika diberi peluang,” katanya mengenai perancangan seterusnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.