
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Abdul Aziz Jusoh berkata kes masih dalam siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan semua pihak diminta supaya menghormati proses tindakan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Perkara ini secara tidak langsung boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan boleh menjejaskan pengimport dan pengusaha industri daging negara yang telah mendapat pengesahan halal yang sah.
“Sebarang komentar yang tidak disertakan dengan bukti yang kukuh boleh menyebabkan timbulnya isu lain yang dikhuatiri menjejaskan kepercayaan terhadap pensijilan halal Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil, dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan lambang halal di sebuah gudang di Senai, Johor.
Aziz berkata mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai isu penyeludupan daging dan penyalahgunaan kuasa hendaklah melaporkannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
Beliau berkata kerajaan menetapkan pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada loji pemprosesan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan JAKIM.
Daging dan produk daging yang diimport masuk perlu pengesahan halal daripada badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.