Sultan Johor seru jangan tergesa-gesa hukum wanita kahwini kapten hoki India

Sultan Johor seru jangan tergesa-gesa hukum wanita kahwini kapten hoki India

Sikap bersangka buruk boleh menyebabkan kita cenderung melakukan tohmahan, mengumpat, mencari kesalahan, dan membuka aib.

PETALING JAYA:
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar menyeru orang ramai jangan tergesa-gesa menghukum wanita yang mengahwini kapten hoki India.

Menasihatkan semua pihak tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra-matang, baginda juga mengingatkan sikap suka bersangka buruk boleh menyebabkan kita cenderung melakukan tohmahan, mengumpat, mencari kesalahan, dan membuka aib orang lain.

“Wanita itu sedang melalui suatu proses penghakiman melalui platform media sedangkan beliau tidak pun setakat ini mengisytiharkan beliau ingin keluar Islam,” katanya di Facebook.

Baginda khuatir jika tergesa-gesa menghukum wanita itu, umat Islam akan menyukarkan wanita itu kembali ke Malaysia dan menjarakkan lagi jurang antara keluarganya dan beliau.

“Islam adalah agama nasihat dan bukan semata-mata menghukum umatnya,” katanya, menggesa umat Islam menunjukkan akal budi dan akhlak yang tinggi dalam menangani hal ini.

Isu ini, katanya, “hendaklah ditangani dengan penuh kebijaksanaan, apatah lagi ianya melibatkan hubungan antara agama, kaum, malahan dua negara.”

“Saya berkeyakinan pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Jabatan Mufti Negeri Johor akan memberikan semua bantuan yang perlu kepada wanita tersebut bagi mengekalkan akidah wanita ini dalam lingkungan syariat Islam,” katanya.

Sementara itu, Sultan Johor juga menasihat orang ramai supaya meneliti apa juga berita berkaitan hubungan sesama umat Islam tanpa berprasangka buruk, dengan berlapang dada. dan bersangka baik.

“Kita juga perlu dan memgambil tindakan dengan meneliti akan berita tersebut daripada sumber yang pasti dan tepat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.