Kerajaan GRS perlu bersyukur, cukai jualan produk petroleum ‘legasi Shafie’, kata Warisan

Kerajaan GRS perlu bersyukur, cukai jualan produk petroleum ‘legasi Shafie’, kata Warisan

Cukai jualan ke atas produk petroleum Sabah dibentangkan di DUN pada akhir 2018 semasa Warisan Plus memerintah dan diluluskan.

Sarifuddin Hata. (GambarWarisan)
KOTA KINABALU:
ADUN Merotai, Sarifuddin Hata, dari Warisan berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu bersyukur kerana dapat mentadbir negeri itu dengan hasil cukai jualan produk petroleum, yang sebelum ini diperjuangkan bekas ketua menteri, Shafie Apdal.

Katanya, bermula tahun depan, Sabah akan menerima hasil cukai berkenaan sebanyak RM1.25 bilion dan ianya hasil usaha pentadbiran terdahulu yang membentangkan perkara itu di DUN pada penghujung 2018.

“Cukai jualan ke atas produk petroleum negeri itu dibentangkan di DUN pada akhir 2018 semasa Warisan Plus memerintah dan diluluskan.

“Bagaimanapun pelaksanaan cukai itu hanya bermula April tahun ini selepas Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang merampas Putrajaya daripada Pakatan Harapan (PH) enggan melaksanakan komitmen menunaikan hak-hak Sabah bawah pentadbiran Warisan Plus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarifuddin berkata, walaupun tempoh pentadbiran Warisan Plus hanya dua tahun lebih, namun ketua menterinya berjaya menuntut hak rakyat Sabah untuk kegunaan pembangunan negeri sehingga generasi seterusnya.

Katanya, hasil cukai jualan terhadap produk petroleum legasi peninggalan pentadbiran Warisan Plus pimpinan Shafie yang akan dinikmati rakyat Sabah sampai bila-bila.

“Dalam pembentangan Belanjawan 2021 Sabah, Ketua Menteri Hajiji Noor ada menyatakan hasil ini bernilai RM1.25 bilion, inilah yang diperjuangkan Shafie sejak mengambil alih pemerintahan.

“Walaupun ada pihak yang mempersoalkan pentadbiran Warisan Plus, seluruh rakyat Sabah kini boleh melihat bagaimana kejayaan Shafie memastikan Sabah menikmati wang daripada hasil bumi ini.

“Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu bersyukur kerana tanpa Warisan Plus mereka tidak akan dapat mentadbir Sabah dengan hasil kewangan itu,” katanya.

Semalam, Hajiji ketika membentangkan belanjawan itu berkata, cukai petroleum memberi sumbangan terbesar kepada pendapatan Sabah tahun ini iaitu kira-kira 27.9%.

Dalam pada itu, Sarifuddin berkata, selain hasil cukai produk petroleum, Warisan Plus juga mewariskan pemerintahan kerajaan Sabah tanpa hutang kepada GRS.

Katanya, ianya berbeza ketika Warisan Plus mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) pada 2018, mendakwa terdapat hutang sebanyak kira-kira RM1 bilion.

“Hutang ini membebankan keupayaan kewangan Sabah tetapi Shafie yang mewarisi pentadbiran daripada Musa Aman tidak merungut, walaupun kita tidak tahu ke mana RM1 bilion itu dibelanjakan.

“Shafie sebaliknya fokus mencari hasil, melakukan penjimatan dan menambah baik pentadbiran sehingga hutang itu berjaya dibayar pada penghujung 2019,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.