
Pengurus Unit Demokrasi dan Tadbir Urus, Aira Azhari berkata, dalam Kabinet bayangan itu, sekurang-kurangnya perlu ada seorang Ahli Parlimen yang mengendalikan setiap kementerian.
Katanya, cadangan balas yang konkrit perlu dibangunkan, misalnya menyediakan “belanjawan bayangan”.
Beliau berkata, sesi perbahasan dan kelulusan Belanjawan di Dewan Rakyat baru-baru ini mendedahkan bahawa kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hanya mempunyai majoriti 3 Ahli Parlimen, sekali gus menunjukkan ia sebuah kerajaan yang rapuh dan terdedah kepada pembelotan.
Beliau berkata, kegagalan pembangkang bersatu dan usaha berterusan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mendapatkan sokongan untuk merebut jawatan perdana menteri, meninggalkan ruang yang kecil untuk mereka mencadangkan pembaharuan tulen.
Justeru katanya, IDEAS menyarankan supaya pembangkang membangunkan idea dasar untuk menangani masalah pengangguran, menghidupkan semula ekonomi, meningkatkan tadbir urus baik dan pengawalan Covid-19.

“Tahun ini merupakan kali pertama dalam beberapa tahun belakangan ini Pakatah Harapan (PH) sebagai pembangkang tidak membentangkan belanjawan Bayangan.
“Hanya apabila pembangkang mencadangkan idea dasar yang konkrit yang akan meningkatkan kesejahteraan rakyat, barulah mereka akan memenangi kembali kepercayaan masyarakat awam.
Beliau berkata, walaupun perbezaan merupakan ciri demokrasi pelbagai parti, namun hanya dengan perbezaan yang produktif, berpandukan dasar dan memberikan penyelesaian kepada rakyat, maka kredibiliti pihak pembangkang akan terbukti.
Aira berkata, pembangkang sendiri merupakan institusi yang menyediakan semak dan imbang terhadap keputusan kerajaan dan mempunyai penting pada masa ini.
Tambah beliau, dalam jangka panjang, majoriti tipis yang dimiliki kerajaan sekarang perlu diuji menerusi pilihan raya umum.
“Majoriti tipis pihak kerajaan hanya akan memanjangkan ketidakstabilan yang sedang hadapi, justeru mandat perlu dipulangkan kepada rakyat untuk memilih kerajaan seterusnya,” katanya.