Pastor Korea pekak dan bisu, dituduh cabul kehormatan dua lelaki

Pastor Korea pekak dan bisu, dituduh cabul kehormatan dua lelaki

Tertuduh dituduh peluk, cium dan raba bahagian sulit dua lelaki dalam dua kejadian berasingan di Pulau Pinang.

Pastor Jee Jon Hoon dari Korea Selatan di Mahkamah Majistret di Butterworth hari ini.
BUTTERWORTH:
Seorang pastor warga Korea yang pekak dan bisu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencabul kehormatan dua lelaki di apartmen miliknya dalam dua kejadian berasingan pada 2013 dan 2017.

Jee Jon Hoon, 54, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan memeluk, mencium dan meraba alat sulit mangsa pertama berusia 28 tahun kira-kira jam 12.20 tengah hari sekitar Oktober 2013 di Apartmen Seri Cemerlang, di sini.

Dia turut dituduh melakukan perbuatan sama terhadap seorang lagi lelaki berusia 27 tahun di lokasi berkenaan pada jam 11 malam, sekitar Julai 2017.

Jee didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas tuduhan menyerang atau menggunakan paksaan jenayah dengan niat mencabul kehormatan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Pengakuan tertuduh bagaimanapun tidak direkodkan kerana Jee tidak dapat memahami terjemahan jurubahasa isyarat disediakan.

Peguam bela G Shanmugam berkata, anak guamnya tidak dapat memahami bahasa isyarat Malaysia kerana hanya mengetahui bahasa isyarat antarabangsa.

Majistret Kalaiarasi Muniandy menetapkan sebutan kes pada 18 Jan untuk memperolehi khidmat jurubahasa isyarat antarabangsa bagi merekodkan pengakuan tertuduh.

Pendakwaan dilakukan timbalan pendakwa raya Azlin Zeti Zainal Abidin, manakala Jee turut diwakili Adlin Farhana Ismail.

Bukit Aman sebelum ini berkata pastor itu yang meraba lima lelaki antara 2011 hingga 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.