Cadangan definisi umur warga emas daripada 60 kepada 65 tahun

Cadangan definisi umur warga emas daripada 60 kepada 65 tahun

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata cadangan itu dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara.

Kerajaan turut berusaha mengenalpasti demografi, kemahiran, kepakaran dan keperluan warga emas. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perubahan definisi umur warga emas daripada 60 kepada 65 tahun antara cadangan dibentangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara (MPPWEN).

Mesyuarat dipengerusikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun itu membangkitkan cadangan mengenai pelaksanaan “Time Bank Volunteering Scheme Untuk Warga Emas” di Malaysia oleh Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA).

Cadangan lain dikemukakan ialah status Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 (PAHFAS) oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta kajian dan penggubalan Akta Pemaju Perumahan Persaraan oleh Jabatan Perumahan Negara.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan dikeluarkan sempena mesyuarat itu berkata, turut disentuh mengenai sistem pendaftaran dan pemetaan warga emas iaitu Sistem eWe yang dibangunkan oleh JKM, bagi mengenalpasti demografi, kemahiran, kepakaran dan keperluan warga emas.

“Sistem ini juga adalah pangkalan data bagi melihat keperluan bekerja semula dan minat warga emas sebagai persediaan ke arah negara tua pada 2030,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Rina dalam kenyataan itu berharap majlis penasihat berkenaan terus diperkasa dan menjadi platform kepada kerajaan bagi memenuhi hasrat dalam memberi pengiktirafan sewajarnya kepada semua warga emas di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.